Oleh Muhamad Adli Faezal Rosnan, Khairul Asyraf Mohd Rodzi, Nur Aqilah Nadhirah Mohd Jais, Muhammad Ikmal Harun
PETALING JAYA – Seramai 10 pelajar program Senibina, Fakulti Kejuruteraan Awam dan Alam Bina (FKAAB), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) berjaya meraih tempat kedua dalam Pertandingan “Dynamic Dance of Headgear” dan Silver Award bagi kategori Best Booth Display “Dancing Tower” ketika menyertai PAM Annual Architecture Student Works 2023 (PAASWE) pada 3 hingga 8 Oktober 2023 lalu.
Program PAASWE kali ke-17 anjuran Pertubuhan Arkitek Malaysia (PAM) itu merupakan program tahunan yang dianjurkan dengan penglibatan institusi pengajian tinggi awam dan swasta seluruh Malaysia.
Antara pengisian utama program pada tahun ini ialah pertandingan booth pameran yang bertemakan “Dancing Tower”selain beberapa pertandingan selingan antaranya Sketching Competition, Straw Abstract Competition dan Stick Structure Competition yang penyertaannya terbuka kepada pelajar seni bina.
Tujuan pertandingan tersebut adalah untuk memberi peluang kepada para pelajar jurusan seni bina membuktikan keupayaan mereka dalam menghasilkan seni dan kreativiti dalam tempoh yang diberikan.
Selain itu, tujuannya juga bagi memberi pendedahan berkaitan ilmu praktikal dalam pembuatan model berskala kecil yang merangkumi pelbagai aspek seni bina.
Penyertaan para pelajar Senibina FKAAB dilihat sebagai suatu platform yang luas bagi mempromosikan program pengajian Senibina di UTHM di samping dapat mempamerkan hasil kerja mereka.
Penyertaan tersebut juga bertujuan memberi lebih keyakinan kepada para pelajar dalam menghasilkan hasil kerja yang kreatif dan berkualiti, selain dapat mempromosi program pengajian Senibina di UTHM.