Perintah tadabbur al-Quran adalah satu perintah umum Allah SWT ke atas seluruh umat Islam. Firman Allah SWT dalam surah Sad ayat 29: “(Al-Qur’an ini adalah) kitab yang Kami turunkan kepadamu (Muhammad) untuk mereka fahami dengan teliti kandungan ayat-ayatnya, dan kepada orang-orang yang berakal beringat mengambil iktibar.” Allah SWT menurunkan al-Qur’an sebagai pedoman bagi manusia agar mereka mengetahui apa yang dikehendaki dan diredhai-Nya. Sepertimana diterangkan dalam surah al-Jaathi’ah ayat 20: “Al-Qur’an ini adalah pedoman bagi manusia, petunjuk, dan rahmat bagi orang-orang yang yakin.

Surah al-Fatihah bermaksud surah pembukaan dan ia adalah surah makkiyah. Ia mempunyai tujuh ayat dan surah kelima yang diturunkan setelah penurunan permulaan surah al-’Alaq, al-Qalam, al-Muzzammil dan permulaan surah al-Muddaththir. Nama panggilan bagi surah al-Fatihah adalah Ummul Quran dan Ummul Kitab. Ia digelar al-umm (ibu) kerana kesemua surah dalam al-Quran selainnya menerangkan segala hukum-hakam dan pelbagai kisah lalu dengan tujuan memberi hidayah kepada manusia. Semua itu dirangkum dalam surah al-Fatihah iaitu pada ayat ke 6. Selain itu, ia juga digelar al-Hamdu (pujian), al-Sab’u al-Math?n? (7 ayat yang berulang-ulang) dan juga al-Solah (doa). Al-Fatihah juga mempunyai sifat-sifatnya yang tersendiri seperti al-Sy?fi; penawar, al-W?qi’ah; pelindung, al-Ruqyah; jampi, al-Kanzu; penuh dengan khazanah ilmu, dan as?su al-Qur?n; asas al-Quran.

Surah al-Fatihah mempunyai kelebihan yang istimewa kerana al-Quran sendiri telah  mengangkat darjatnya di mana Allah menyebut secara berasingan dalam surah al-Hijr ayat 87: “Dan sesungguhnya Kami telah berikan kepadamu (wahai Muhammad) tujuh ayat yang dibaca berulang-ulang (al-Fatihah) dan al-Quran yang agung”. Ia juga menjadi rukun kepada ibadah solat. Tidak sah solat seseorang tanpa membaca surah al-Fatihah. Maka jelaslah bahawa surah ini mempunyai kedudukan yang tinggi di sisi Allah SWT.

Ayat pertama; bismillahi al-rahm?n al-rah?m. Ia dikenali sebagai Basmallah. Semua surah dalam al-Quran dimulakan dengan Basmallah kecuali surah al-Taubah. Basmallah dimulakan dengan partikel ba yang bermaksud dengan. Bismillah; dengan nama Allah. Ayat ini tidak lengkap kerana bermula dengan partikel dan ia sebenarnya terkait dengan perbuatan yang sedang dilakukan oleh penuturnya. Huruf ba adalah huruf isti’?nah; bermaksud memohon pertolongan. Justeru, membaca bismillah sebelum melakukan apa-apa perbuatan bererti kita memohon pertolongan Allah SWT agar diberkati dan dipermudahkan untuk melakukan apa-apa sahaja.

Ayat kedua; al-hamdu lillahi rabbi al-‘?lam?n. Ayat ini dimulakan dengan kata nama al-hamdu. Digunakan kata nama tidak kata kerja kerana ia menunjukkan ketetapan dan berterusan, tidak berubah seperti kata kerja. Jadi ayat ini mengisyaratkan kepada pujian yang tetap dan berterusan hanya pada Allah SWT. Lill?hi; perkataan Allah berasal daripada al-il?h; bermaksud tuhan yang disembah. Kemudian huruf alif dihazafkan maka terbentuklah perkataan Allah. Perkataan il?h dalam al-Quran merujuk kepada Allah serta kepada tuhan selain-Nya, manakala perkataan Allah pula hanyalah kepada tuhan yang Maha Esa. Sementara perkataan rabb pula bermaksud raja, penghulu, pendidik dan pemelihara. Manakala perkataan al-‘?lam?n bermaksud orang-orang yang berakal seluruh alam; merujuk kepada para malaikat, manusia dan jin. Kenapa bukan kepada benda tidak bernyawa dan binatang? Ini kerana al-Quran ini diturunkan kepada orang-orang yang berakal!.

Ayat ketiga; al-rahm?n al-rah?m adalah dua sifat Allah SWT yang berkait dengan ayat sebelumnya. Kedua-duanya berasal dari perkataan rahmun; bermaksud kasih sayang dan sifat memberi. Pada perkataan al-rahm?n ada tambahan huruf alif dan nun. Ia menunjukkan kepada sifat rahmat dan kasih sayang Allah yang melimpah dan menyeluruh. Maka dengan sifat inilah Allah SWT memberi rezeki kepada seluruh makhluk di langit dan bumi. Inilah sifat zat Allah SWT. Manakala perkataan al-rah?m pula adalah sifat perbuatan Allah terhadap manusia; yakni sifat rahmat Allah yang hanya dikurniakan kepada orang-orang Mukmin yang dirahmati-Nya. Maka kedua-dua sifat ini adalah untuk mengisbatkan sifat rahmat Allah SWT.  

Ayat keempat; m?liki yawmidd?n; Yang Menguasai Hari Pembalasan. Perkataan m?lik adalah sifat Allah SWT yang keempat disebutkan dalam surah al-Fatihah selepas rabb, al-rahm?n dan al-rah?m. M?lik atau malik; bermaksud pemilik dan raja. Dan al-d?n; bermaksud al-jaz?k iaitu balasan. Kita selalu mengatakan bahawa agama itu adalah al-d?n. Maka dengan takrifan ini dapat difahami bahawa agama adalah apa sahaja yang kita lakukan sama ada kecil atau besar, di sana terdapat balasan baginya. Justeru, ayat ini menjelaskan bahawa Allah SWT adalah raja yang memiliki segala-galanya pada Hari Akhirat.

Ayat kelima; iyy?ka na’budu wa iyy?ka nasta’?n; hanya Engkau yang kami sembah dan hanya Engkau yang kami minta pertolongan. Objek dalam sesuatu ayat biasanya datang selepas kata kerja dan pelaku. Tetapi ayat ini ia didahulukan dengan kata ganti diri (Engkau); merujuk kepada Allah SWT. Ini kerana segala ibadah dan pertolongan hanya dikhususkan kepada Allah SWT semata-mata. Na’budu daripada perkataan ibadah yang bermaksud khud?’ (rendah diri) dan taat. Nasta’?n pula daripada perkataan isti’?nah; yakni meminta pertolongan.

Ayat keenam; ihdin? assir?t al-mustaq?m; tunjukilah kami jalan yang lurus. Ihdi daripada perkataan hidayah bermaksud petunjuk. Kita meminta petunjuk agar berada di atas jalan yang lurus. Dan jalan itu tidak lain ialah Islam yang mana padanya ada al-Quran, as-Sunnah serta Sirah Nabi SAW, kehidupan para sahabat dan at-tabi’iin untuk diteladani. Itulah matlamat al-Quran diturunkan.

Ayat ketujuh; sirat alladh?na an’amta ‘alaihim ghairil maghd?bi ‘alaihim wa l? ad-d?ll?n; jalan orang-orang yang Engkau beri nikmat kepada mereka dan bukan jalan yang Engkau murkai dan jalan yang sesat. Ayat ini adalah pencerahan bagi ayat sebelumnya iaitu assir?t al-mustaq?m. Dalam ayat ini, Allah SWT menerangkan bahawa jalan yang lurus itu masih tidak jelas melainkan diketahui melalui orang-orang Mukmin yang telah melalui jalan tersebut. Mereka ialah para nabi dan rasul, sidd?q?n, para sahabat serta orang-orang soleh kerana mereka dikurniakan nikmat ketetapan iman. Ungkapan ghairil maghd?bi ‘alaihim bererti bukanlah jalan orang-orang kafir yang dimurkai. Ia juga dirujuk kepada orang-orang kafir Yahudi kerana mereka mempunyai ilmu tetapi tidak mematuhi perintah Allah SWT. Orang berilmu lebih dimurkai berbanding orang-orang yang jahil kerana orang jahil adalah ad-d?ll?n; iaitu orang-orang yang sesat dan jauh dari kebenaran. Maka tiga golongan manusia ini menjadi pilihan. Justeru, pilihlah golongan pertama kerana jika kita bersama mereka, kita pasti mendapat hidayah Allah SWT dan kasih sayang-Nya.

Mudah-mudahan tadabbur ringkas ini dapat menyedarkan kita matlamat sebenar kehidupan kita. Semoga kita terus beribadah dan memohon pertolongan kepada Allah semata-mata, seterusnya mendapat hidayah-Nya dan nikmat ketetapan iman yang berterusan. In sya Allah.

 

 

Abdul Hadi Abd Aziz
Pusat Pengajian Bahasa, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)

Nurul Hanilah  Mohd Ismath 
Kulliyyah of Languages and Management (KLM), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)