Oleh Sharifah Saon, Suriayati Baharom

BATU PAHAT, 12 Okt 2023 – Seramai 12 pelajar Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) menerima tajaan biasiswa daripada Sena Traffic Systems (STS) Sdn. Bhd. selepas kedua-dua pihak menandatangani memorandum perjanjian pada 30 September 2022 lalu.

Pihak STS memperuntukkan RM5000 setiap semester bagi penerima biasiswa peringkat sarjana muda manakala RM4500 bagi biasiswa peringkat diploma yang merangkumi yuran pengajian, penginapan dan sara hidup.

Bagi melayakkan mereka menerima biasiswa, pelajar yang disenarai pendek sahaja dipanggil untuk sesi temuduga oleh Jawatankuasa Pelaksana Biasiswa Sena Traffic Systems (STS) Sdn. Bhd.

Keputusan akhir pemberian biasiswa tersebut ditetapkan oleh pihak STS dan setiap penerima perlu melengkapkan dokumen perjanjian.

Bagi memastikan proses perjalan lancar, permohonan pelajar UTHM yang berkelayakan juga dibantu oleh Bahagian Penajaan dan Pengurusan Sistem, Pejabat Hal Ehwal Pelajar dan Bendahari UTHM.

Untuk rekod, dua pelajar UTHM dari Fakulti Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (FKEE) dan Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat (FSKTM) telah menerima biasiswa STS dengan anggaran keseluruhan berjumlah RM 50,000.

Terkini, bagi sesi Oktober 2023, 10 pelajar yang telah ditawarkan Biasiswa STS bakal menerima nilai biasiswa berdasarkan peringkat pengajian dan baki semester pengajian, berkuatkuasa pada semester 1 2023/2024. 

Jumlah keseluruhan biasiswa untuk 10 pelajar tersebut iaitu enam pelajar FKEE, seorang pelajar FKMP, seorang pelajar Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan serta dua pelajar Pusat Pengajian Diploma dianggarkan mencecah RM206,000.

Antara kriteria pemilihan calon yang ditetapkan STS adalah, pemohon mestilah warganegara Malaysia, sedang mengikuti pengajian sepenuh masa bagi tahun dua dan ke atas dalam jurusan sains dan kejuruteraan di peringkat ijazah sarjana muda atau diploma, memperolehi keputusan cemerlang minimum iaitu CGPA 3.3 dan tidak menerima sebarang biasiswa/pinjaman daripada mana-mana penaja.

Sekiranya pemohon gagal mengekalkan GPA/CGPA, pihak STS dan UTHM mengikut budi bicara boleh menangguhkan pemberian biasiswa bagi semester seterusnya sehingga pemohon mencapai keputusan yang diperlukan.

 

Sesi temubual yang dibuat oleh STS untuk pemilihan pelajar yang berkelayakan.