Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka (LTAM) adalah sebuah lapangan terbang yang terletak di Batu Berendam, Melaka, Malaysia. Ia diwujudkan untuk memberi kemudahan penerbangan kepada para pelancong and juga penduduk negeri Melaka, termasuk penduduk di utara negeri Johor. Lapangan terbang ini mempunyai terminal penumpang tunggal yang boleh mengendalikan 1.5 juta penumpang setiap tahun.
Kedudukan LTAM yang hanya 15km dari pusat bandar Melaka berbanding dengan Lapangan Tebang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) yang berada lebih kurang 91km dari Melaka memberi LTAM kelebihan dan kemudahan kepada pelancong serta ahli perniagaan yang ingin ke Melaka. Kedudukan strategik LTAM ini berpotensi menjadikan ia alternatif kepada KLIA dan boleh dinobatkan sebagai pintu masuk pelancong ke Malaysia.
Kewujudan dan kedudukan LTAM di sebuah bandar yang diiktiraf sebagai Bandar Warisan Dunia (World Heritage) oleh United Nations Educational, Scientific and Cultural Organisation (UNESCO), memberi kelebihan yang tidak ternilai kepada LTAM.
Selain dari pelancong biasa, LTAM juga memainkan peranan penting sebagai pintu masuk kepada industri pelancongan perubatan di Melaka.
Namun baru-baru ini, di ambang persiapan kerajaan negeri yang sedang melancarkan kempen Tahun Melawat Melaka 2024, kita dikejutkan dengan berita terhentinya penerbangan komersial di LTAM.
Kerajaan negeri telah berkali-kali menjemput syarikat penerbangan untuk menawarkan perkhimatan di LTAM namun tiada sambutan diberikan kepada usaha ini. Dilaporkan antara alasan yang diberi oleh syarikat penerbangan yang menghentikan sementara operasi di LTAM adalah kerana jumlah penumpang yang rendah dan kos operasi yang tinggi.
Penggantungan perkhidmatan ini amat memeranjatkan kerana terdapat banyak faedah dan potensi yang ada pada LTAM dan negeri Melaka yang boleh dimanfaatkan oleh syarikat penerbangan tempatan dan juga antarabangsa. Lapangan terbang yang pernah menghubungkan Melaka ke Pulau Pinang, Kota Bahru, Langkawi and juga Pekan Baru di Indonesia telah hilang daya tarikan kepada syarikat penerbangan dan mereka kurang berkeyakinan serta tidak mahu mengambil risiko untuk menawarkan perkhidmatan ke sini. Hal ini tentu akan memberi impak yang negatif kepada industri pelancongan tempatan.
Namun diyakini kerajaan negeri Melaka tidak akan berdiam diri dan akan berusaha memulihkan keadaan di LTAM ini. Di sini ada beberapa strategi yang boleh diguna pakai untuk memikat syarikat penerbangan memberi perkhidmatan di LTAM:
- Menyediakan insentif: Oleh kerana syarikat penerbangan beranggapan menyediakan perkhidmatan di LTAM tidak menguntungkan, kerajaan negeri wajar menawarkan insentif seperti kos pendaratan bersubsidi dan kerjasama pemasaran. Difahamkan kerajaan negeri sedang merangka insentif untuk ditawarkan kepada syarikat penerbangan yang terbabit untuk mengadakan perkhidmatan semula di LTAM.
- Menambah destinasi: Rangkaian laluan perlu diperluaskan dengan menambah destinasi baharu. Menghubungkan LTAM dengan destinasi yang menarik di dalam negara dan antarbangsa akan menambah daya tarikan kepada pengguna untuk menggunakan LTAM. Laluan menghubungkan LTAM ke destinasi dalam negeri yang mempunyai ramai pelancong seperti Pulau Pinang, Langkawi, Kota Bahru, Kuching dan Kota Kinabalu serta negara seperti Singapura, Thailand dan Indonesia dapat menarik pelancong dari destinasi ini untuk datang ke Melaka. Penambahan destinasi juga dapat memikat penumpang yang akan menjadikan LTAM alternatif kepada KLIA kerana kedudukan LTAM yang hanya 15 km dari pusat bandar Melaka. Ini adalah satu kelebihan yang harus dimanfaatkan oleh kerajaan negeri. Usaha in berpotensi meningkatkan trafik penumpang masuk dan keluar di LTAM.
- Meningkatkan kemudahan: Meningkatkan kemudahan dan perkhidmatan lapangan terbang seperti menyediakan pengangkutan ke lapangan terbang ke setiap lokasi pelancongan di daerah Melaka dan juga bandar serta pekan berdekatan terutamanya di utara Johor. Strategi ini secara tidak langsung akan memudahkan pengguna untuk mengguna LTAM kerana kedudukannya amat dekat dengan mereka berbanding dengan KLIA di Sepang. Hasilnya akan dapat melihat peningkatan trafik pengguna perkhidmatan penerbangan di LTAM.
- Meningkatkan promosi: Sempena Tahun Melawat Melaka 2024, ketibaan pelancong di negeri ini dijangka akan meningkat. Peningkatan promosi LTAM melalui pelbagai platform, termasuk media sosial, perhubungan awam dan pengiklanan boleh menarik lebih ramai pelancong mengunakan LTAM. Promosi menggunakan billborad di destinasi baharu yang menawarkan perkhidmatan penerbangan ke LTAM perlu dipergiatkan. Kekerapan berita mengenai produk pelancongan di Melaka perlu diperkaitkan dengan perkhidmatan penerbangan ke LTAM dan ini perlu dilaksanakan oleh unit perhubungan awam kerajaan negeri Melaka. Selain itu pengunaan sosial media terutamanya aplikasi TikTok, Facebook dan juga Instagram dengan bantuan pempengaruh sosial media juga dapat menarik perhatian orang ramai mengunakan LTAM. Objektif promosi hendaklah bertujuan untuk meningkatkan kesedaran tentang kewujudan perkhidmatan penerbangan di LTAM dan mewarwarkan segala perkhidmatan yang ada disediakan.
- Kerjasama dengan syarikat pelancongan tempatan: Ini boleh membantu mempromosikaan lapangan terbang dan destinasi pelancong di Melaka. Tanggungjawab mempromosi produk pelancongan dan LTAM juga perlu dipikul bersama dengan pihak swasta yang berkepentingan dalam industri pelancongan negeri Melaka. Kempen pemasaran bersama, seperti menawarkan diskaun dan pakej yang menarik kepada pelancong ke Melaka yang menggunakan LTAM juga dapat meningkatkan daya tarikan pengguna untuk menggunakan perkhidmatan penerbangan di lapangan itu.
- Membangunkan kemudahan kargo: Ini boleh menarik perniagaan baharu dan mewujudkan pekerjaan. Operasi kargo boleh menjana pendapatan yang besar untuk lapangan terbang, dan ia juga boleh membantu mengimbangi kos perkhidmatan penumpang.
Untuk menjayakan strategi di atas, kerajaan negeri dan pihak berkepentingan hendaklah bersedia untuk melabur dalam pemasaran dan promosi. Syarikat penerbangan perlu diyakinkan bahawa terdapat permintaan dari pengguna untuk menggunakan perkhidmatan di LTAM. Kerjasama dengan masyarakat setempat seperti sokongan dari organisasi perniagaan dan tempatan, juga boleh membantu mempromosikan lapangan terbang ini dan menarik penumpang.
Penerbangan komersial adalah penting untuk pengembangan industri pelancongan tempatan kerana lapangan terbang dapat memberi hasil tambahan yang konsisten kepada kerajaan negeri dan juga kepada ekonomi tempatan. Oleh itu kerjasama semua untuk memulihkan perkhidmatan penerbangan di LTAM haruslah dipikul bersama.
Mohamed Ismail Haji Pakir Mohamed
Pensyarah Kanan
Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)
Artikel ini juga diterbitkan pada :
1.Utusan Malaysia m/s 17 : Kena Berani Melabur Promosi LTAM, artikel penulisan Mohamed Ismail bin K.P Hj Pakir Mohamed, Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan (FPTP) UTHM