SUMATERA UTARA – Lima pelajar tahun satu program Senibina, Fakulti Kejuruteraan Awam dan Alam Bina, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) berkolaborasi dengan pelajar dari Universitas Sumatera Utara Indonesia (USU) melaksanakan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) bagi membantu merancakkan aktiviti pelancongan di perkampungan Tuktuk Siadong, Pulau Samosir, Sumatera Utara, Indonesia. 

Lima pelajar terbabit iaitu Siti Nur Zulaikha Mohamad, Tang Wei Zhong, Siti Farhana Nabila Roslan, Bock Hui Min dan Dayang Nur Afiqah Abang Salman diselia oleh pensyarah Dr. Azmal Sabil dan Ar. Mohd Jamil Mohd Hamberi.

Pogram yang berlangsung selama dua minggu bermula 12 hingga 24 Ogos 2023 itu turut disertai kumpulan pelajar dari Universiti Teknologi Mara.

Menurut Dr. Azmal, sepanjang pelaksanaan program para pelajar terlibat bergiat aktif berkongsi ilmu dan kemahiran masing-masing dalam memperkasakan lagi produktiviti komuniti setempat.

“Antaranya, pelaksanaan aktiviti pengajaran Bahasa inggeris di sekolah tempatan bagi membantu komuniti setempat meningkatkan penguasaan bahasa tersebut khususnya ketika berkomunikasi dengan pelancong asing.

“Selain tu, para pelajar juga terlibat dalam aktiviti gotong-royong berkala serta turut menanam beberapa jenis tumbuhan di kawasan utama pelancongan sekitar Kampung Tuktuk,” katanya.

Mereka juga terlibat dalam aktiviti meningkatkan kesedaran berkaitan kepentingan digitalisasi bagi tujuan pemerkasaan ekonomi pelancongan Kampung Tuktuk.

Tambah beliau, para pelajar terlibat turut berkongsi ilmu membantu sebahagian komuniti setempat menguruskan akaun media sosial mereka dan cara menghasilkan poster digital bagi tujuan mempromosi pakej pelancongan yang ditawarkan.

“Pihak fakulti berharap penyertaan di peringkat antarabangsa seumpama ini dapat memberi pengalaman baharu dan nilai tambah kepada para pelajar terbabit sekali gus dapat merealisasikan hasrat UTHM dalam menyebarluaskan lagi ilmu dan kemahiran setiap warganya,” tambah Dr. Azmal.

 

Ucapan oleh Dr Azmal Sabil, wakil dari UTHM.