Oleh Dr. Mohd Faisal Hushim, Ts. Suhairi Ismail, Ts. Dr. Md Norrizam Mohmad Ja’at @ Mohd Noh
PAGOH – Bersempena bulan kemerdekaan dan sambutan Hari Kebangsaan ke-66, Kolej Kediaman Kampus Pagoh (KKKP), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah memasang dan mengibarkan lebih 200 jalur gemilang di sekitar kawasan kolej kediaman.
Jalur gemilang yang dikibarkan merupakan hasil sumbangan dari Yayasan Isra’ Malaysia dan dipasang oleh penghuni kolej kediaman terdiri daripada pelajar diploma semester khas dan juga pelajar pasca-siswazah.
Menurut penasihat program, Dr. Mohd Faisal Hushim merangkap Timbalan Pengetua 1 KKKP, penglibatan para pelajar dalam proses pemasangan bendera itu bertujuan mengukuhkan lagi jati diri mereka sebagai rakyat Malaysia, di samping memupuk perasaan menghormati jalur gemilang dan semangat cintakan tanah air agar terus kekal di hati.
Tambah beliau, Hari Kemerdekaan perlulah disambut dan dihayati oleh semua rakyat dengan sepenuh jiwa raga.
“Ini bertujuan untuk menyemai jiwa patriotik dan semangat memperkasakan tanah air, memelihara kedaulatan negara, memupuk perpaduan antara kaum dan menghargai budaya dan warisan negara.
“Sebagai rakyat yang cintakan negaranya, sudah pasti kita perlu bersungguh-sungguh menyemai perasaan cintakan negara selain meraikannya dengan penuh semangat patriotik dan kemerdekaan,” katanya.