Oleh Dr. Mohd Zulariffin Md Maarof, Suriayati Baharom

BATU PAHAT – Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) melalui Pusat Teknousahawan Universiti (PTU) telah menubuhkan En.Trade Hub bagi membantu melahirkan usahawan pelajar yang bergiat aktif dalam bidang jualan secara dalam talian.

Bagi mencapai matlamat tersebut, PTU telah bekerjasama dengan KGW Logistics (KGW) dan Syarikat Terbitan Universiti (STU), Infinite Victory Consultancy Sdn Bhd (IVCSB) setelah temeterainya satu memorandum perjanjian (MoA) yang diadakan pada 13 Ogos 2023 lalu.

Ketiga-tiga pihak tersebut bekerjasama menubuhkan En.Trade Hub bagi membantu universiti ini mewujudkan ekosistem E-Dagang Hub yang lengkap di PTU.

Penubuhan En.Trade Hub bertujuan untuk membantu pelajar membina kerjaya dalam bidang jualan secara dalam talian terutamanya dalam pasaran antarabangsa seperti eBay, Amazon,  Etsy, Grailed dan Shopify.

KGW, IVCSB dan PTU akan berganding bahu mewujudkan ekosistem yang lengkap bagi memberi sokongan penuh kepada pelajar sekali gus memastikan kejayaan mereka dapat direalisasikan sepenuhnya.

Kerjasama itu turut melibatkan pemain industri utama dalam bidang logistik seperti Pos Malaysia, DHL Express, SF Express, Amilo Berhad dan Singpost bagi membantu pelajar menguruskan penghantaran produk jualan ke pasaran luar negara dengan lebih cekap.

Turut diadakan pada hari yang sama, Majlis Pelancaran En.Trade Hub yang telah dirasmikan oleh Pengerusi Lembaga Pengarah UTHM, Dato’ Sri Ibrahim Ahmad.

Hadir sama, Naib Canselor UTHM, Profesor Ir. Ts. Dr. Ruzairi Abdul Rahim; Pengarah Pusat Teknousahawan Universiti, Dr. Nasuha Sau’de dan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Sr. Ts. Dr. Hj. Lokman Hakim Hj. Ismail.

Majlis ringkas tersebut turut dihadiri pihak Matrade, MDEC, Easystore, Maxis Bisnes dan TikTok bagi memberi sokongan penuh dalam memenuhi keperluan Syarikat Pemula Mahasiswa yang bakal melahirkan usahawan di peringkat global.

Menurut Pengarah PTU, Dr. Nasuha Sau’de sebagai permulaan, 100 pelajar UTHM sedang dilatih secara berperingkat untuk berniaga di eBay, Amazon, Etsy dan Grailed.

Tambah beliau, apabila pelajar berjaya menguasai pasaran platform E-Dagang antarabangsa, lebih mudah bagi mereka untuk memasarkan produk tempatan ke pasaran luar negara.

“Mereka akan diberi latihan keusahawanan setiap bulan secara fizikal dan dalam talian di En.Trade Hub melalui pemberian subsidi daripada dana Global Techopreneur University (GTU 2030) UTHM kepada Syarikat Pemula Syarikat secara konsisten,” katanya.

Program seumpama itu adalah yang pertama dijalankan di institusi pengajian tinggi di Malaysia kerana En.Trade Hub menyediakan fasiliti yang membolehkan pelajar belajar secara ‘hands-on’ untuk mengambil gambar produk dan merakamkan video pemasaran produk di TikTok.

Sebahagian prasarana di dalam En.Trade Hub telahpun diperolehi menerusi Geran Penyelidikan Erasmus Capacity Building for Higher Education dari European Comission yang dikenali sebagai ‘Angel Innovate Unit.’

“Inisiatif seumpama itu diambil bagi memacu UTHM ke tahap yang lebih tinggi dalam bidang keusahawanan E-Dagang antarabangsa.

“Kerjasama yang dijalinkan dengan pihak industri yang pakar dalam bidang E-Dagang dan logistik dapat melahirkan generasi yang lebih berdaya saing pada masa hadapan.

“Dengan wujudnya ekosistem ini, pelajar dilatih dengan secukupnya sebagai persediaan untuk mereka menjadi usahawan peringkat global dan seterusnya menjadikan bidang keusahawanan sebagai kerjaya utama selepas tamat belajar,” tambah Dr. Nasuha.