BATU PAHAT, 9 Ogos 2023 – UTHM Education & Training Sdn. Bhd. (UET) menjalinkan kerjasama strategik dalam bidang pendidikan teknikal dan kejuruteraan bersama Blitz Training & Consultancy Sdn. Bhd. (Blitz) bagi membangunkan bidang pendidikan teknikal dan kejuruteraan.

Kerjasama tersebut bertujuan menggalakkan perkongsian pengetahuan, memperkukuhkan program-program akademik dan memajukan kecekapan teknikal serta kemahiran insaniah dalam kalangan pensyarah, pelajar serta pihak industri.

Sebagai permulaan, satu Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman antara UET dan Blitz telah diadakan bertempat di KANZU Knowledge Consultant, kampus induk UTHM pada 9 Ogos 2023.

Antara bidang kerjasama yang telah dipersetujui termasuklah Pensijilan Program Kecekapan Teknikal dan Kemahiran Insaniah bagi memastikan program-program pendidikan teknikal dan kejuruteraan mematuhi standard yang ditetapkan, serta diberikan pensijilan berkualiti.

Selain itu kerjasama itu juga melibatkan pemberian latihan kepada pensyarah dan pelajar khususnya untuk  pembangunan profesional bagi membantu mereka memperoleh kemahiran yang relevan dengan keperluan semasa industri.

Tambahan lain, kerjasama itu juga melibatkan penubuhan sebuah kolej pendidikan teknikal dan vokasional (TVET) yang akan memberikan akses kepada program akademik serta latihan kecekapan teknikal yang berkualiti.

UET dan Blitz juga merancang untuk mengembangkan platform e-pembelajaran yang interaktif dan inovatif dalam usaha memajukan pendidikan secara dalam talian.

Kedua-dua pihak juga akan berkerjasama dalam mengadakan seminar dan konferensi bagi memberi peluang kepada peserta untuk berkongsi pengalaman dan pengetahuan di peringkal lokal mahupun antarabangsa.

Menurut Ketua Pegawai Operasi UET, Prof. Madya Ts. Dr. Mohamad Hisyam Mohd Hashim, kerjasama UET dan Blitz menjadi tonggak penting dalam pengembangan pendidikan teknikal dan kejuruteraan di Malaysia terutamanya di negeri Johor.

“Ia akan membuka peluang baharu kepada pelajar, pensyarah dan profesional dalam meningkatkan pengetahuan dan kemahiran mereka, sejajar dengan perubahan dinamik dalam industri dan teknologi.

“Diharapkan kerjasama ini akan membawa impak yang positif dan berkekalan dalam membentuk tenaga kerja yang mahir dan kompetitif dalam era globalisasi yang menekankan aspek Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0),” katanya.

 

MoU UET-Blitz : UET diwakili Ketua Pegawai Operasi, Prof. Madya Ts. Dr. Mohamad Hisyam Mohd Hashim manakala Blitz pula diwakili Group EVP Finance, Noranis Bohari sambil disaksikan oleh Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), UTHM, Profesor Ts. Dr. Azme Khamis.

 

Berita ini juga diterbitkan di:

1. Malaysia Gazette (malaysiagazette.com), 12 Ogos 2023: UET, Blitz jalin kerjasama bangunkan bidang teknikal, kejuruteraan

UET, Blitz jalin kerjasama bangunkan bidang teknikal, kejuruteraan