Baru-baru ini Tesla, pengeluar automotif elektrik multinasional terkemuka Amerika, mengumumkan pengembangan strategiknya ke pasaran Malaysia. Menurut kenyataan bersama Tesla dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), langkah itu adalah tindak balas langsung kepada inisiatif Peneraju Global Kenderaan Elektrik Bateri (BEV) yang diperkenalkan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI). Tesla juga komited untuk melabur dalam menyediakan rangkaian yang luas stesen pengecasan pantas dan pengecasan biasa merentas lokasi strategik di seluruh Malaysia untuk memberikan pemilik Kenderaan Elektrik (EV) pengalaman pengecasan yang lancar dan mudah, sekali gus menggalakkan penggunaan EV secara meluas di negara ini. Syarikat ini akan menubuhkan ibu pejabat dan pusat perkhidmatannya yang tercanggih di Cyberjaya untuk semua operasi korporat, pemasaran, latihan, aktiviti sokongan pelanggan dan perkhidmatan kenderaan, dilengkapi dengan alat diagnostik termaju dan kakitangan dengan juruteknik Tesla yang terlatih. Malaysia menyasarkan 15 peratus daripada jumlah keseluruhan industri (TIV) disumbangkan oleh EV dan kenderaan hibrid menjelang 2030 dan 38 peratus daripada TIV menjelang 2040.
Pelaburan baru ini yang diumumkan oleh Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, daripada beberapa syarikat gergasi dunia seperti Tesla dan Amazon Web Services (AWS) akan memberi kesan yang besar kepada bidang Pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET). TVET memainkan peranan penting dalam mempersiapkan tenaga kerja yang berkualiti untuk menghadapi perubahan teknologi dan ekonomi global terutama pelaburan berteknologi tinggi. Kerajaan perlu memperkasakan jurusan TVET seiring dengan hasrat negara ke arah teknologi digital dan revolusi perindustrian 4.0. Dalam era revolusi perindustrian 4.0 yang menekankan pada teknologi digital dan inovasi, memperkasakan jurusan TVET menjadi suatu keutamaan untuk bersaing dan berkembang dalam pasaran global. Revolusi perindustrian 4.0 membawa perubahan yang drastik dalam dunia teknologi, termasuk perkembangan dalam kecerdasan buatan (AI), robotik, internet kebendaan (IoT), data raya, dan automasi. Perubahan ini telah memberi kesan kepada pelbagai sektor ekonomi dan mewujudan peluang pekerjaan yang memerlukan kemahiran teknikal dan kecekapan digital yang tinggi.
Pendidikan TVET harus mampu menyediakan tenaga kerja dengan kemahiran yang relevan dan menepati keperluan industri semasa. Negara maju seperti Jerman dan Finland telah jauh kehadapan dengan pelbagai langkah proaktif untuk meningkatkan jurusan TVET sejajar dengan perubahan dalam teknologi seperti menyediakan program latihan yang berasaskan IR4.0 dan teknologi terkini. Ini memberikan peluang kepada pelajar TVET mendapatkan kemahiran yang terkini mengikut keperluan industri. Oleh itu, memperkasakan jurusan TVET dalam konteks teknologi digital dan revolusi perindustrian 4.0 adalah suatu langkah strategik yang perlu dilakukan.
Kemahiran digital
Salah satu langkah penting untuk memperkasakan jurusan TVET adalah melengkapkan pelajar dengan kemahiran digital yang relevan. Pada tahun 2020, Malaysia telah melancarkan Dasar Pendidikan TVET Kebangsaan, yang bertujuan untuk menghasilkan lulusan TVET yang berdaya saing dalam era revolusi perindustrian 4.0. Dasar ini melibatkan pelbagai inisiatif, termasuk pembaruan kurikulum, pengenalan program digital, peningkatan kualiti, latihan praktikal, dan kolaborasi dengan industri untuk memastikan relevansi dan kualiti pendidikan TVET. Dalam era revolusi perindustrian 4.0, kemahiran seperti pemrograman, analitik data, kecerdasan buatan (AI), internet kebendaan (IoT), dan kecekapan penggunaan teknologi digital semakin kritikal. Sektor perindustrian dan perkhidmatan semakin bergantung kepada teknologi dan data untuk meningkatkan produktiviti dan inovasi. Pengenalan mata pelajaran dan kemahiran digital yang relevan, seperti pengaturcaraan, analitik data, kecerdasan buatan, dan teknologi bersepadu, adalah penting bagi memastikan pelajar TVET bersedia menghadapi cabaran revolusi perindustrian 4.0. Negara kita perlu mengambil pelbagai inisiatif untuk memperkasakan jurusan TVET sejajar dengan revolusi perindustrian 4.0. Kerjaan perlu menyediakan latihan dan kursus yang fokus kepada kemahiran digital dan teknologi. Bantuan kewangan kepada pelajar dan pekerja untuk mengambil pelbagai kursus dan sijil dalam bidang TVET perlu diberikan perhatian. Negara-negara lain seperti Switzerland, Finland, Jepun dan Korea Selatan telah bergerak kehadapan dengan langkah-langkah progresif untuk memperkasakan jurusan TVET mereka. Oleh itu, kurikulum dalam jurusan TVET harus dikemaskini secara berterusan berdasarkan kepada teknologi terkini dan permintaan pasaran kerja semasa.
Kemahiran teknikal
Selain kemahiran digital, pelajar dalam jurusan TVET juga perlu dididik dalam bidang kemahiran teknikal. Ini termasuk kemahiran dalam bidang mekanikal, elektrik, elektronik, pengeluaran, automasi, robotik, dan banyak lagi. Kecekapan teknikal ini penting kerana ia membentuk asas bidang kejuruteraan dan kemahiran dalam menjalankan tugas profesional. Penekanan pada kecekapan teknikal juga membantu memastikan tenaga kerja yang berkualiti dan relevan dengan keperluan industri. Sebagai contoh, penglibatan industri seperti PETRONAS dalam kluster minyak dan gas, DRB Hicom bagi kluster automotif, Sunway bagi kluster perhotelan, dan MRCB bagi kluster pembinaan dapat memperkukuhkan program TVET. Pembaharuan ini akan menghasilan graduan TVET yang memenuhi keperluan industri. Kerajaan juga berhasrat untuk melibatkan institusi TVET dengan 50 syarikat terutamanya dalam kalangan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) untuk kerjasama ini.
Keusahawanan
Selain itu, penting untuk meningkatkan kemahiran ilmu keusahawanan dalam kurikulum jurusan TVET. Revolusi perindustrian 4.0 telah membuka peluang untuk inovasi perniagaan baharu dalam pelbagai sektor. Oleh itu, pelajar dalam jurusan TVET perlu disokong untuk mengembangkan ilmu keusahawanan dan kreativiti dalam bidang teknikal dan digital. Pendidikan keusahawanan dapat membantu mereka memahami proses perniagaan, meneroka peluang baru, dan menerapkan inovasi dalam industri.
Infrastruktur dan peralatan terkini
Selain daripada meningkatkan pemantapan kurikulum, memperkasakan jurusan TVET juga melibatkan penyediaan infrastruktur dan peralatan yang terkini dan berkualiti tinggi. Pelajar harus mempunyai akses kepada fasiliti moden dan peralatan terkini untuk meningkatkan kemahiran dan kecekapan mereka. Pusat latihan dan institusi pendidikan harus dilengkapi dengan teknologi terkini untuk memberi latihan praktikal yang sebenar kepada pelajar. Pelaburan dalam infrastruktur dan peralatan ini juga membantu memastikan jurusan TVET mendapat tahap kualiti yang terbaik dalam pendidikan dan latihan teknikal. Kerajaan perlu memberikan sokongan dan insentif untuk memperkukuhkan jurusan TVET, termasuklah pembiayaan, penyediaan infrastruktur yang berkualiti dan pembangunan pusat-pusat kecemerlangan TVET.
Kerjasama yang erat antara sektor pendidikan, industri dan kerajaan
Selain itu, perlu ada kerjasama yang erat antara sektor pendidikan, industri dan kerajaan untuk memperkasakan jurusan TVET. Industri harus berperanan dalam menentukan keperluan tenaga kerja mereka dan memberi maklum balas tentang kemahiran yang dikehendaki. Pendidikan TVET harus berkerjasama dengan pihak industri secara berterusan untuk mengikuti perkembangan teknologi dan tren industri terkini. Kerjasama ini memastikan kurikulum dan latihan TVET sentiasa relevan dengan keperluan semasa dan masa depan industri. Rancangan Malaysia Ke-12 (2021-2025), kerajaan telah memperkenalkan program MyDIGITAL yang bertujuan untuk memperkasakan infrastruktur teknologi maklumat dan komunikasi serta memajukan digitalisasi dalam semua sektor ekonomi. Selain itu, Kementerian Sumber Manusia telah melancarkan program MyHRDF untuk meningkatkan kemahiran digital pekerja di sektor swasta. Berdasarkan belanjawan 2023, Skim Latihan Dual Nasional (SLDN) juga akan diperkukuh dengan peruntukan 50 juta ringgit untuk manfaat lebih 8,000 pelatih. Program Academy in Factory akan dilaksanakan untuk menyediakan peluang kepada lebih 50 ribu pelatih menjalankan latihan sambil bekerja di kilang.
Pengiktirafan dan gaji yang bermaruah
Selain itu, penting untuk memberi pengiktirafan dan gaji yang bermaruah kepada pelajar yang berjaya menamatkan jurusan TVET mengikut kemahiran dan kepakaran masing-masing. Pengiktirafan dan gaji yang bermaruah dapat meningkatkan minat dan motivasi pelajar untuk memilih jurusan TVET sebagai pilihan kerjaya masa depan. Ini akan membantu menarik bakat-bakat terbaik untuk menyertai bidang TVET dan membina tenaga kerja yang berkualiti. Negara harus memastikan dan menghasilkan graduan TVET yang kompeten dan berkualiti tinggi dalam bidang teknikal dan vokasional bagi memenuhi keperluan industri dan pasaran kerja semasa. Selain itu, perlu ada kerjasama yang baik antara institusi pendidikan, industri dan kerajaan dalam usaha menangani isu pengangguran dan menyediakan tenaga kerja yang berkualiti berdasarkan keperluan industri.
Pembelajaran sepanjang hayat
Di samping itu, penyediaan peluang pembelajaran sepanjang hayat perlu diberi perhatian dalam memperkasakan jurusan TVET. Revolusi perindustrian 4.0 menuntut pembelajaran berterusan dan penyesuaian kepada perkembangan teknologi yang cepat. Pelajar dalam jurusan TVET perlu digalakkan untuk terus belajar dan mengembangkan kemahiran baru untuk memastikan mereka kekal relevan di pasaran pekerjaan yang berubah.
Peluang latihan dan pembangunan profesional
Selain itu, negara perlu memberi perhatian kepada peningkatan profesionalisme guru dan pensyarah dalam jurusan TVET. Guru dan pensyarah yang berkualiti dan berkelayakan adalah kunci dalam menyediakan pendidikan yang berkualiti tinggi. Negara harus menyediakan peluang latihan dan pembangunan profesional kepada guru dan pensyarah TVET untuk meningkatkan kecekapan mereka dalam mengajar dan menyediakan latihan teknikal yang berkualiti.
Penglibatan masyarakat
Bagi mencapai kejayaan dalam memperkasakan jurusan TVET, penglibatan masyarakat juga penting. Persepsi masyarakat tentang TVET perlu diubah agar TVET diiktiraf sebagai pilihan yang setaraf seperti pendidikan akademik lain. Promosi dan kempen kesedaran kepada masyarakat perlu dijalankan bagi menyedarkan tentang potensi dan peluang yang ditawarkan oleh jurusan TVET. Sebagai contoh, program pendidikan vokasional di Switzerland diakui sebagai salah satu yang terbaik di dunia yang mana lebih daripada dua pertiga daripada pelajar sekolah menengah memilih pendidikan vokasional, dan sekitar 90 peratus daripada lulusan TVET mendapat pekerjaan dalam masa enam bulan selepas lulus. Selain itu, pendidikan vokasional di Finland menekankan pendekatan berasaskan kerjasama yang erat dengan industri. Lebih daripada 70 peratus pelajar Finland memilih pendidikan vokasional sebagai pilihan mereka, dan program ini diakui sebagai satu pilihan pendidikan yang berprestasi tinggi dalam mempersiapkan tenaga kerja pasaran yang terkini.
Secara kesimpulannya, memperkasakan jurusan TVET seiring dengan hasrat negara ke arah teknologi digital dan revolusi perindustrian 4.0 adalah amat penting untuk mempersiapkan tenaga kerja yang berkualiti dan relevan dengan keperluan semasa dan masa depan industri. Dengan menyediakan pelajar dengan kemahiran digital, kecekapan teknikal, keusahawanan dan peluang pembelajaran sepanjang hayat, negara dapat memastikan tenaga kerja yang kompeten dan inovatif dalam menghadapi cabaran dan peluang yang ditawarkan oleh era revolusi perindustrian 4.0. Investasi dalam infrastruktur dan kerjasama yang erat antara sektor pendidikan, industri dan kerajaan juga penting untuk memastikan kejayaan dalam perkasakan jurusan TVET bagi masa depan negara.
Prof. Madya Ts. Dr. Md Fauzi Ahmad
Pensyarah dan Ketua Penyelidik Pengurusan Teknologi Pengeluaran
Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)
Profesor Dr. Abdul Talib Bon
Profesor Pengurusan Pengeluaran dan Operasi dan Pengarah Teaching Factory
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)