Hari Belia Antarabangsa (HBA) disambut pada 12 Ogos setiap tahun. Bersempena dengan tema HBA pada tahun ini iaitu “Kemahiran Hijau untuk Belia: Ke Arah Dunia yang Mampan”, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) telah menyasarkan agar golongan belia dapat dioptimumkan dengan ilmu berkaitan kemahiran hijau agar masa hadapan yang mampan dapat direalisasikan. Menurut PBB lagi, dunia hari ini berada dalam fasa perubahan kepada teknologi hijau berikutan daripada masalah perubahan iklim dunia yang semakin membimbangkan.

The Intergovernmental Panel on Climate Change (IPCC) yang merupakan sebuah organisasi antarabangsa di bawah kelolaan PBB dalam laporannya pada Mac 2023 mendedahkan bahawa keadaan perubahan iklim dunia semakin meningkat. Suhu permukaan global pada tahun 2011-2020 telah berada pada tahap tertinggi abad ini apabila mencapai 1.1°C melebihi tempoh sebelumnya. Laporan IPCC tersebut juga menyatakan selain daripada masalah pelepasan gas daripada rumah hijau, pemanasan global juga berlaku disebabkan oleh penggunaan tenaga yang tidak mampan dan gaya hidup penduduk dunia yang tidak peka dengan masalah perubahan iklim. Oleh itu, gesaan PBB terhadap golongan belia melalui tema HBA pada tahun ini merupakan inisiatif yang perlu disambut baik dan seterusnya dapat diimplementasikan oleh golongan belia khususnya di Malaysia.

Kemahiran hijau adalah merujuk kepada kemampuan, pengetahuan, dan sikap yang perlu ada pada setiap golongan belia untuk menyumbang secara positif kepada pemuliharaan alam sekitar seterusnya menjamin masa hadapan yang mampan. Golongan belia yang juga pewaris masa hadapan perlu didedahkan dengan kemahiran hijau agar dapat meningkatkan lagi pemahaman mereka terhadap kepentingan pemuliharaan alam sekitar. Oleh itu, usaha bagi meningkatkan kesedaran terhadap pentingnya kemahiran hijau ini perlu dipikul oleh setiap pemegang taruh yang terlibat dengan pembangunan belia.

Antara usaha yang telah dilakukan untuk meningkatkan kesedaran golongan belia di Malaysia adalah melalui institusi pendidikan. Bidang Technical and Vocational Education and Training (TVET) merupakan cabang ilmu yang sedang giat dipromosikan. Pendekatan TVET yang mengaplikasikan Education for Sustainable Development (ESD) secara khususnya memfokuskan kepada pembentukan tahap kesedaran, nilai, sikap dan kebolehan pelajar untuk menangani isu berkaitan pembangunan mampan melalui pendidikan. Natijahnya, golongan belia terutamanya dari golongan mahasiswa yang terdidik dengan ilmu teknologi hijau akan lebih cenderung untuk mengutamakan kelestarian alam. Lebih banyak inovasi-inovasi teknologi hijau turut akan terhasil sekiranya tahap kesedaran golongan belia untuk menjaga alam sekitar semakin tinggi. Oleh itu, sebagai pelopor kepada pengeluaran sumber manusia yang intelektual dan berdaya saing, penubuhan lebih banyak institusi pendidikan yang berteraskan TVET dan ESD perlu dibangunkan.

Selain daripada usaha melalui institusi pendidikan, pihak kerajaan melalui Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) yang kini dikenali sebagai Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) juga secara konsisten telah melaksanakan pelbagai program kesedaran dan kepentingan teknologi hijau. Walau bagaimanapun, penambahbaikan boleh dilakukan melalui jalinan kerjasama di antara Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan MOSTI bagi membentuk sebuah dasar yang khusus kepada penglibatan golongan belia dalam menjaga kelestarian alam. Dengan adanya dasar yang khusus tersebut, golongan belia dapat diagendakan untuk membantu kerajaan dalam menguasai teknologi hijau bagi menjadikan masa hadapan yang lebih mampan.

Bagi meningkatkan lagi keberkesanan penglibatan belia, organisasi badan bukan kerajaan (NGO) dan pertubuhan-pertubuhan belia perlu berganding bahu bagi merealisasikan tema hari belia ini. Antara inisiatif yang boleh dilaksanakan adalah dengan mencipta platform untuk belia berhubung, berkongsi idea, dan berkolaborasi dalam projek-projek hijau. Ruang dan peluang yang diberikan kepada golongan belia tersebut mampu memberikan impak besar kepada mereka seterusnya mendorong rasa tanggungjawab dalam kalangan belia dalam melestarikan alam sekitar.

Kesimpulannya, kebolehupayaan golongan belia menguasai kemahiran hijau memainkan peranan penting dalam membentuk masa hadapan. Pelaburan ke atas golongan belia untuk menguasai kemahiran hijau juga akan melahirkan sebuah generasi yang menjadi agen perubahan dalam menangani masalah alam sekitar. Semua pemegang taruh yang berkait dengan pembangunan belia perlu bersama-sama meningkatkan kesedaran golongan belia. Dengan ilmu pengetahuan dan pengaplikasian teknologi hijau yang berterusan, maka impian menjadikan dunia yang mampan pada masa hadapan akan dapat dicapai. Oleh itu, sudah tiba masanya untuk potensi golongan belia di Malaysia diiktiraf dengan menggabungkan aspirasi, semangat dan komitmen mereka untuk mencipta dunia yang lebih baik untuk generasi akan datang.

 

 

 

 

Yuslizar Kamaruddin

Pensyarah

Pusat Pengajian Umum dan Kokurikulum

Universti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)