Oleh Dr. Syafiqah Nur Azrie Safri, Ts. Dr. Wan Nur Azrina Wan Muhammad, Ts. Dr. Nur Kamilah Yusuf
BATU PAHAT – Bersempena sambutan 30 tahun penubuhannya, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) mengambil langkah proaktif dalam membantu kesejahteraan wanita dengan menganjurkan tiga fasa program Corporate Social Responsibility (CSR) “Period Poverty.”
Terkini, program CSR “Period Poverty” fasa satu telah diadakan pada 28 Mei 2023 yang bertujuan mengenal pasti pelajar yang terkesan dengan masalah kemiskinan haid sekali gus meningkatkan kesedaran serta pengetahuan mereka di berkaitan pengurusan haid.
Program CSR anjuran bersama Yayasan UTHM dan Kolej Kediaman Dalam Kampus (KKDK) itu diisi dengan satu forum bertemakan pemerkasaan wanita bertajuk “Period Poverty: Isu, Cabaran dan Solusi.”
Forum yang berlangsung di Big Stage, Perpustakaan Tunku Tun Aminah (PTTA), kampus induk itu dihadiri 250 pelajar yang terdiri daripada golongan B40 dan asnaf dan turut disiarkan secara “live streaming” di saluran YouTube rasmi universiti.
Tiga ahli panel telah dijemput menjayakan forum tersebut iaitu ialah Anja Juliah Abu Bakar, Pengasas dan Pengarah Impak, Athena Holdings Sdn. Bhd., Dr. Sufian Hadi Tationo, Pakar Obstetrik dan Ginekologi, Hospital Pantai Batu Pahat dan Shakila Ahmad daripada Pusat Pengajian Umum dan Kokurikulum, UTHM.
Selain itu, bersempena “Menstrual Hygiene Day” yang disambut pada 28 Mei, forum tersebut turut membincangkan topik pengurusan haid dari segi kesihatan dan agama serta stigma sosial dan budaya yang berkaitan dengan haid.
Melalui forum tersebut, pihak Athena Holdings telah menyumbang produk sanitari guna semula sebanyak 100 pek yang bernilai RM25,000 untuk diserahkan kepada komuniti di Kampung Orang Asli Kangkar Senangar dan Kampung Orang Asli Tanah Abang.
Turut diadakan, serahan mock check daripada Anja Juliah kepada Ketua Pustakawan PTTA, Zaharah Abd Samad bagi tujuan tersebut.
Sumbangan itu bertujuan membantu penduduk di kawasan tersebut untuk menguruskan haid dengan lebih bersih dan teratur.
UTHM berharap penganjuran program seumpama itu dapat memberi kesedaran kepada pelajar-pelajar UTHM mengenai masalah kemiskinan haid dan mendorong mereka untuk menguruskan haid dengan lebih sempurna.
Untuk rekod, program CSR fasa dua dan fasa tiga dijadual akan menyusul melibatkan penduduk Kampung Orang Asli Kangkar Senangar dan Kampung Orang Asli Tanah Abang.