BATU PAHAT,12 Jun 2023 – Bagi meneruskan usaha membentuk kemenjadian mahasiswa, Persatuan Pandu Puteri Siswi Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah mengadakan aktiviti khidmat komuniti di Rumah Warga Emas dan Kanak-kanak OKU Taman Sinar Harapan Jubli.
Program melibatkan 30 pelajar Pandu Puteri Siswi UTHM itu dibantu tujuh pensyarah Iaitu Dr. Anizam Mohamed Yusof, Ts. Dr. Yusmarwati Yusof, Dr. Lutfiah Natrah Abbas, Ts. Dr. Mazidah Mat Rejab, Profesor Madya Dr. Fadillah Ismail dan Nur’afifah Yousri.
Menurut kapten program, Dr. Zanariah Ahmad, program CSR tersebut diadakan bertujuan untuk memberi penekanan kepada keistimewaan warga emas dan kanak-kanak orang kurang Upaya (OKU) dalam masyarakat.
“Mereka adalah insan yang istimewa dan memerlukan lebih banyak kasih sayang dan perhatian dari orang sekeliling.
“Dalam usaha memenuhi keperluan mereka, program ini dijalankan dengan penuh keikhlasan dan rasa tanggungjawab,” katanya.
Tambah Dr. Zanariah, program CSR itu juga bertujuan untuk mencipta hubungan kerjasama dan perpaduan antara pelajar dari pelbagai negeri, sekali gus sebagai usaha membentuk pemimpin muda yang bertanggungjawab dan tinggi sifat empati.
Selain itu, program itu juga bertujuan untuk memupuk nilai kasih sayang antara ahli Persatuan Pandu Puteri Klover UTHM dengan warga emas dan kanak-kanak OKU.
Bagi mengeratkan lagi hubungan, pelbagai aktiviti telah diadakan antaranya sesi terapi muzik, pertandingan karaoke dan mewarna serta sukaneka untuk kanak-kanak OKU bersama pelajar Pandu Puteri.
Aktiviti tersebut selaras dengan objektif Pandu Puteri Klover iaitu untuk memupuk nilai kesayangan terhadap diri sendiri (psikik) dan memberi khidmat kepada komuniti.
Sepanjang program ini berlangsung, pelajar Pandu Puteri Siswi UTHM dan para pensyarah terlibat telah berusaha untuk mencipta suasana yang mesra dan positif bagi warga emas dan kanak-kanak OKU.
Program itu juga memberi peluang kepada pelajar UTHM untuk memahami lebih mendalam mengenai keperluan dan cabaran yang dihadapi oleh warga emas dan kanak-kanak OKU.
“Dengan pengetahuan ini, diharapkan pelajar-pelajar ini akan menjadi agen perubahan yang lebih peka terhadap isu-isu yang berkaitan dengan golongan ini dalam Masyarakat.
“Pihak kami berharap semangat kebersamaan dan keikhlasan yang diinspirasikan melalui program ini akan terus berkekalan dan membawa impak positif kepada semua pihak yang terlibat,” tambah Dr. Zanariah.