Pelancongan Muslim merupakan pasaran yang semakin berkembang dalam industri pelancongan dengan populasi umat Islam dianggarkan mencecah 2 bilion di seluruh dunia. Nilai pasaran pelancongan muslim di seluruh dunia mencapai kira-kira USD 194 bilion dan akan terus berkembang dan mencapai USD300 bilion pada tahun 2026.

Menurut data, seramai 2.12 juta pelancong Muslim ke negara kita pada tahun 2022 dengan jumlah perbelanjaan pelancong Muslim sebanyak RM5.37 bilion. Malaysia telah mendapat anugerah ‘Destinasi Mesra-Muslim Terbaik’ Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dalam laporan Indeks Pelancongan Muslim Global (GMTI) 2023. Pencapaian tersebut mengukuhkan lagi kedudukan dan penjenamaan Malaysia sebagai peneraju segmen Pelancongan Islam serta Pelancongan dan Hospitaliti Mesra Muslim (MFTH) di peringkat serantau dan antarabangsa.

Namun, penting untuk diakui bahawa terdapat beberapa negara lain yang juga menjadi pesaing kepada negara kita seperti Emiriah Arab Bersatu (UAE), Turki, Arab Saudi, Indonesia dan Mesir. Tambahan pula, terdapat peluang pasaran mesra Muslim yang besar yang belum kita terokai sepenuhnya lagi. Oleh itu, Malaysia perlu terus memperkasakan pelancongan mesra Muslim bagi menarik pelancong Muslim dari seluruh dunia. Kerajaan dan pengusaha industri tempatan perlu menawarkan produk pelancongan dan infrastruktur mesra Muslim sebagai satu nilai tambah dalam memperkasakan industri pelancongan Muslim negara kita.

Kemudahan mesra Muslim

Salah satu aspek yang penting dalam memperkasakan Malaysia sebagai destinasi mesra Muslim adalah memperluas kemudahan mesra Muslim. Data menunjukkan bahawa terdapat lebih dari 61.3 peratus penduduk Malaysia adalah Muslim. Terdapat pelbagai tarikan kemudahan mesra muslim  yang tersedia termasuk masjid, surau, pusat kebudayaan Islam, dan institusi pendidikan agama. Data menunjukkan bahawa terdapat lebih daripada 17,000 masjid dan surau di seluruh Malaysia.

Salah satu cabaran utama adalah menyediakan infrastruktur dan kemudahan yang sesuai untuk pelancong Muslim. Oleh itu, Malaysia perlu terus meningkatkan kualiti infrastruktur dan kemudahan seperti masjid, serta memperbaiki dan memperluas fasiliti solat di tempat awam. Kemudahan solat yang selesa dan bersih perlu diberikan perhatian. Selain itu, penyediaan maklumat yang jelas dan mudah diakses tentang lokasi masjid dan waktu solat akan memberikan keselesaan kepada pelancong Muslim.

Menurut Tourism Malaysia, terdapat lebih daripada 3,700 hotel berbintang di seluruh negara. Hotel-hotel ini perlu meningkatkan kemudahan dan perkhidmatan yang sesuai dengan keperluan pelancong Muslim, termasuk kemudahan solat dan makanan halal.

Makanan halal

Makanan halal adalah salah satu faktor penting yang menarik pelancong Muslim ke Malaysia. Malaysia terkenal dengan kepelbagaian hidangan halalnya yang menyediakan pelbagai hidangan dari pelbagai budaya dan tradisi. Data menunjukkan bahawa Malaysia memiliki lebih daripada 100,000 restoran dan kedai makanan halal. Selain itu, terdapat juga festival makanan halal yang dianjurkan di seluruh negara, seperti Malaysia International Halal Showcase (MIHAS), yang menarik pelancong Muslim dari seluruh dunia.

Oleh itu, Malaysia perlu terus memperkuatkan statusnya sebagai pengeluar makanan halal terkemuka. JAKIM dan badan pengesahan halal lainnya perlu memastikan pematuhan terhadap piawaian halal dalam industri makanan dan minuman. Memastikan sijil halal yang sah dan dipercayai adalah penting untuk memberikan keyakinan kepada pelancong Muslim tentang keaslian dan kehalalan makanan yang mereka nikmati semasa berada di Malaysia.

Promosi dan pemasaran

Promosi dan pemasaran juga memainkan peranan penting dalam memperkasakan Malaysia sebagai destinasi mesra Muslim. Kerajaan dan agensi pelancongan perlu bekerjasama untuk mempromosikan keunikan Malaysia melalui pemasaran pada segmen pelancong Muslim. Ini melibatkan penggunaan media sosial, laman web pelancongan yang dioptimumkan untuk pelancong Muslim, serta kerjasama dengan influencer dan personaliti terkenal dari kalangan komuniti Muslim. Dalam belanjawan 2023, kerajaan telah memperuntukkan 250 juta ringgit untuk mempromosi pelancongan Malaysia sebagai destinasi pelancongan.

Seni, warisan dan budaya Islam

Pelancong Muslim juga ingin mengalami keunikan seni, budaya dan warisan Islam di Malaysia. Oleh itu, Malaysia perlu terus mempromosikan pameran seni dan budaya Islam, pertunjukan muzik tradisional dan aktiviti kebudayaan yang memperkukuhkan imej Malaysia sebagai destinasi mesra Muslim yang mempunyai warisan agama yang berharga.

Pelancong Muslim dapat mengunjungi masjid-masjid yang ikonik seperti Masjid Putra di Putrajaya atau Masjid Negara di Kuala Lumpur.Sebagai contoh, seni khat adalah salah satu bentuk seni yang penting dalam budaya Islam di Malaysia. Kaligrafi ini sering digunakan untuk menghiasi masjid. Melalui pengalaman ini, pelancong Muslim dapat lebih memahami dan menghayati keindahan budaya Islam Malaysia.

Kerjasama dengan OIC

Selain itu, Malaysia juga harus memperkuatkan kerjasama dengan negara-negara anggota Organisasi Kerjasama Islam (OIC) dalam mempromosikan Malaysia sebagai destinasi mesra Muslim. Ini boleh melibatkan pertukaran program pelancongan, kunjungan pelancong, dan kerjasama dalam membangunkan produk pelancongan yang menarik. Malaysia juga boleh menganjurkan persidangan dan seminar antarabangsa untuk pelancongan Muslim dan menggalakkan pertukaran pendapat dan pengalaman.

Infrastruktur pelancongan

Selain promosi dan kemudahan, Malaysia juga perlu memperkukuhkan usaha dalam meningkatkan kebolehcapaian infrastruktur pelancongan mesra muslim. Pembangunan dan peningkatan lapangan terbang, pelabuhan, jaringan pengangkutan awam, serta penyediaan kemudahan penginapan yang berkualiti dengan kemudahan mesra muslim adalah penting untuk memenuhi keperluan pelancong Muslim. Sebagai contoh, hotel-hotel dan penginapan yang menyediakan fasiliti seperti bilik solat, tandas, kiblat yang jelas, serta makanan halal untuk memenuhi keperluan pelancong Muslim.

Seminar dan Sejarah Islam

Pembangunan tarikan pelancongan yang berhubungan dengan pendidikan juga perlu diberi tumpuan. Malaysia boleh membangunkan lebih banyak pusat pembelajaran Islam dan muzium Islam yang memaparkan warisan agama dan kebudayaan Islam di Malaysia. Selain itu, acara-acara pendidikan seperti seminar, kursus, dan bengkel berkaitan dengan Islam, boleh diadakan untuk menyediakan ruang bagi pelancong Muslim untuk memperoleh pengetahuan mendalam mengenai agama dan memperdalam pemahaman mereka tentang Islam di Malaysia.

Penjagaan dan pemuliharaan alam sekitar

Menurut Tourism Malaysia, terdapat beberapa tarikan utama bagi pelancong Muslim di Malaysia termasuk Putrajaya, Kuala Lumpur, Pulau Langkawi, Melaka, dan Pulau Redang. Destinasi-destinasi ini menawarkan kombinasi unik antara keindahan alam semula jadi dan warisan budaya islam. Malaysia kaya dengan keindahan alam semula jadi, termasuk hutan hujan tropika, pulau-pulau menarik, dan taman negara yang menakjubkan. Penjagaan dan pemuliharaan alam sekitar serta kemudahan mesra Muslim  perlu diberi keutamaan untuk memastikan pelancong Muslim dapat menikmati keindahan alam semula jadi dengan selesa.

Kemahiran pelancongan mesra Muslim

Sebagai langkah tambahan, Malaysia perlu memperkukuhkan kemahiran pelancongan mesra muslim dalam kalangan pengusaha pelancongan tempatan. Pelancong Muslim akan lebih selesa jika pengendali pelancongan dan pemandu pelancongan mempunyai pengetahuan tentang keperluan pelancong Muslim. Pemahaman tentang adab dan etika Islam, keperluan diet halal, serta kepatuhan terhadap tuntutan agama akan memastikan pelancong Muslim diberi layanan yang berkualiti tinggi. Sebagai contoh, pengusaha syarikat pelancongan digalakkan menyertai kursus dan program seperti kursus ‘Muslim-Friendly Tourist Guide’ (MFTG) dan program ‘Muslim-Friendly Tourism and Hospitality Assurance and Recognition’ (MFAR) untuk meningkatkan kemahiran pelancongan mesra Muslim.

Dalam usaha memperkasakan Malaysia sebagai destinasi mesra Muslim, adalah penting untuk menjaga reputasi yang baik. Mengutamakan integriti, keikhlasan, dan kejujuran serta menyediakan perkhidmatan yang profesional dan berkesan adalah aspek-aspek yang tidak boleh diabaikan.

Cabaran

Meskipun Malaysia telah berjaya sebagai destinasi mesra Muslim yang menarik pelancong Muslim dari pelbagai negara, terdapat juga cabaran yang perlu ditangani. Cabaran utama termasuk keperluan untuk meningkatkan kesedaran global tentang keunikan Malaysia sebagai destinasi mesra Muslim, meningkatkan kualiti perkhidmatan dan produk yang disediakan, serta meningkatkan promosi dan pemasaran Malaysia sebagai destinasi pelancongan mesra Muslim.

Penting juga untuk membangun rangkaian industri pelancongan yang bekerjasama dengan pihak berkepentingan, termasuk persatuan pelancongan dan pihak berkuasa tempatan. Kolaborasi ini akan membantu memastikan penyediaan kemudahan dan perkhidmatan mesra Muslim yang berkualiti untuk pelancong Muslim, serta memastikan kepatuhan kepada prinsip-prinsip pelancongan mesra Muslim.

Dalam usaha untuk menjadi destinasi pelancongan mesra Muslim yang berjaya, Malaysia perlu terus berinovasi dalam meningkatkan kemudahan dan perkhidmatan yang sesuai dengan keperluan pelancong Muslim untuk terus menerajui destinasi mesra Muslim yang utama di dunia. Keberhasilan Malaysia dalam menarik pelancong Muslim bukan hanya memberikan manfaat ekonomi kepada negara, tetapi juga memperkayakan kepelbagaian budaya dan memupuk pemahaman dan toleransi antara pelbagai agama dan budaya.

Kesimpulannya, Malaysia mempunyai potensi yang besar untuk terus menerajui pelancongan mesra Muslim. Dengan memperkasakan kemudahan, meningkatkan infrastruktur pelancongan, meningkatkan promosi, dan meningkatkan perkhidmatan serta produk pelancongan, Malaysia dapat terus menarik minat pelancong Muslim dari seluruh dunia. Keunikan budaya, warisan, sejarah, seni bina, keindahan alam semula jadi, dan kemudahan pelancongan yang tersedia menjadikan Malaysia sebagai destinasi yang tidak dapat dilepaskan bagi pelancong Muslim yang ingin mengalami pengalaman pelancongan yang terindah.

     

Profesor Madya Ts. Dr. Md Fauzi Ahmad

Pensyarah dan Ketua Penyelidik Pengurusan Teknologi Pengeluaran

Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)

 

Artikel ini juga diterbitkan di:

1. Malaysia Gazette (malaysiagazette.com), 10 June 2023 : Malaysia sebagai peneraju pelancongan mesra Muslim dunia

https://malaysiagazette.com/2023/06/10/malaysia-sebagai-peneraju-pelancongan-mesra-muslim-dunia/

 

2. Utusan Malaysia (muka surat: 19), 15 Jun 2023: Jangan puas hati anugerah mesra pelancong Muslim

 

3. Utusan (utusan.com.my), 15 Jun 2023: Jangan puas hati anugerah mesra pelancong Muslim

https://www.utusan.com.my/rencana/forum/2023/06/jangan-puas-hati-anugerah-mesra-pelancong-muslim/

https://www.utusan.com.my/rencana/forum/2023/06/jangan-puas-hati-anugerah-mesra-pelancong-muslim/

 

4. Bernama (bernama.com), 7 Julai 2023 : Malaysia sebagai peneraju pelancongan mesra muslim dunia 

https://www.bernama.com/bm/tintaminda/news.php?id=2201258