Oleh Ts. Dr. Mohd Norasri Ismail, Prof. Madya Ts. Dr. Mustaffa Hj Ibrahim, Dr. Fadillah Ismail
PORT DICKSON – Seramai 48 pelajar Kursus Pengakap Kelanasiswa I dan II yang mengikuti Kursus Kokurikulum Berkredit, Pusat Pengajian Umum dan Kokurikulum (PPUK), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah menyertai program Latihan Intensif Kem Lencana Kemahiran Pengakap Kelana pada 26 dan 27 Mei 2023 lalu.
Menariknya, kumpulan pelajar terbabit berpeluang menyertai program Youth and United Nations Global Alliance (YUNGA), Plastic Tide Turner Challenge Badge yang bertujuan mewujudkan persekitaran lestari di negara ini.
Program tersebut juga dilaksanakan bertujuan mengajak masyarakat mengurangkan atau mengelak daripada menggunakan plastik sama ada di darat mahupun di laut bagi menjaga ekosistem alam.
Lebih membanggakan, sepanjang program berlangsung sebanyak 100 kilogram sampah berjaya dikumpul oleh para peserta.
Menurut Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negeri PPM KLKM, Profesor Madya Ts. Dr. Hj. Mustaffa Hj. Ibrahim pelaksanaan program inisiatif global seperti YUNGA dalam aktiviti kepengakapan merupakan salah satu usaha pergerakan Pengakap bagi mentransformasi kehidupan golongan muda belia.
“Plastic Tide Turner Challenge Badge ini akan dapat meningkatkan kesedaran masyarakat terutamanya belia tentang bagaimana menghapuskan penggunaan plastik sekali guna dalam kehidupan seharian bagi memelihara alam sekitar secara global,” katanya.
Beliau berharap program seumpama itu dapat meningkatkan kesedaran dan keprihatinan masyarakat untuk mengelakkan penggunaan plastik sekali guna bagi mewujudkan ekosistem persekitaran yang lebih lestari.
Sementara itu, Pengajar merangkap penasihat program, Ts. Dr. Mohd Norasri Ismail berkata program selama dua hari itu juga diisi dengan aktiviti yang dapat meningkatkan kemahiran berpengakap.
“Pihak kami turut melaksanakan aktiviti perkhemahan, simpulan dan ikatan, projek perintis, orienteering, ikhtiar hidup dan penganggaran yang merujuk kepada Skim Latihan Pengakap Kelana bagi membolehkan pelajar mendapatkan Lencana Kemahiran Pengakap Kelana,” katanya.
Turut terlibat dalam program tersebut, Persekutuan Pengakap Malaysia (PPM), Negeri Kumpulan Latihan Kelanasiswa Malaysia (KLKM) serta Majlis Belia Malaysia bersempena sambutan Hari Belia Negara 2023 peringkat kebangsaan.
Berita ini juga diterbitkan di:
1. Media Digital Johor (mediadigitaljohor.gov.my), 11 Jun 2023: UTHM didik pelajar pelihara ekosistem alam, elak gunakan plastik
UTHM DIDIK PELAJAR PELIHARA EKOSISTEM ALAM, ELAK GUNAKAN PLASTIK