KUALA LUMPUR, 12 Mei 2023 – Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) sekali lagi mencatat rekod apabila berjaya membawa pulang 10 pingat hasil penyertaan 10 produk penyelidikan ketika menyertai Pameran Reka Cipta Inovasi dan Teknologi Antarabangsa (ITEX 23).

UTHM berjaya meraih empat pingat emas dan enam perak melalui penyertaan produk hasil kajian dan penyelidikan pensyarah dari pelbagai fakulti.

Kejayaan itu membuktikan aktiviti penyelidikan di UTHM mampu menarik perhatian umum sekali gus mampu bersaing dengan universiti ternama lain di Malaysia.

Pameran kali ke-34 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada 11 hingga 13 Mei itu disempurnakan oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Tuan Chang Lih Kang.

Lih Kang turut menzahirkan keterujaan beliau terhadap impak yang akan diperolehi melalui ITEX 2023 dalam menangani perubahan iklim.

“Melalui Technology Reversing Climate Change, saya teruja untuk melihat penyelesaian baharu yang inovatif yang dibina berdasarkan teknologi yang cekap tenaga atau menggunakan sumber tenaga boleh diperbaharui, mengurangkan pelepasan karbon dan menggunakan bahan kitar semula atau boleh guna semula,” katanya.

Beliau turut berbesar hati atas peranan dimainkan ITEX dalam memajukan ciptaan dan inovasi di negara ini serta menggalakkan pertumbuhan pencipta tempatan, selaras dengan salah satu teras Malaysia MADANI iaitu ‘Daya Cipta’.

Beliau berkata pameran itu berjalan seiring dengan hasrat kerajaan untuk menerajui dasar berorientasikan masa depan yang dirangka untuk merangsang kreativiti dan kepakaran tempatan, serta memperkasakan rakyat untuk membangunkan penyelesaian ke arah Malaysia yang aman dan makmur.

Turut hadir, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Ts. Dr. Rabiah Ahmad.

ITEX 2023 kali ini mempamerkan lebih 700 penyelidikan oleh penyelidik universiti, pusat penyelidikan dalam dan luar negara, sekolah rendah dan menengah, termasuklah sektor swasta dari lebih 19 negara antaranya Indonesia, Taiwan, Korea Selatan, Arab Saudi, Iran, Korea dan Malaysia.

Sejajar dengan itu, UTHM amat komited melaksanakan lonjakan transformasi dalam penghasilan solusi kepada industri dan masyarakat seiring dengan tujuan asal penubuhan universiti teknikal di Malaysia.