Oleh Prof. Madya Dr. Munzilah Md. Rohani, Dr. Hanifi Othman
Bagi merancakkan lagi aktiviti universiti di peringkat antarabangsa, Pusat Penyelidikan Pemanduan Bijak, Fakulti Kejuruteraan Awam dan Alam Bina (FKAAB) ,Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) bekerjasama dengan Universitas Mercu Buana, Indonesia bagi menjayakan program SULAM KidSafe pada 8 Mei 2023 lalu.
Program yang diadakan di Madrasah Ibtidaiyah Alam Robbani, Kota Bks, Jawa Barat Indonesia melibatkan tiga Pensyarah FKAAB iaitu Profesor Madya Dr. Munzilah Md. Rohani (ketua), Dr. Hanifi Othman dan Noorliyana Omar.
Seramai 10 pelajar FKAAB dan 12 pelajar UMB berganding bahu melaksanakan program SULAM KidSafe yang disertai hampir 60 murid dari Madrasah Ibtidaiyah Alam Robbani.
Program tersebut merupakan kaedah pengajaran berasaskan kelas kepada komuniti yang dijalankan dalam suasana pembelajaran aktif luar kelas.
Menurut Dr. Munzilah, matlamat utama SULAM KidSAfe itu adalah untuk menggalakkan pelajar UTHM dan UMB meningkatkan kreativiti dan inovasi mereka dalam menyumbang dan berkongsi pengetahuan berkaitan keselamatan jalan raya kepada masyarakat.
”Melalui kaedah ini, para pelajar yang terlibat dapat mengguna dan mempertingkatkan kemahiran kognitif, psikomotor dan afektif untuk berkomunikasi secara berkesan dan bekerja dalam satu pasukan.
“Bukan itu sahaja, malah pelajar juga dapat mengaplikasikan ciri-ciri kepimpinan dan bakat yang mereka ada dengan lebih yakin untuk melaksanakan tugasan projek yang diberikan secara efektif dan berinovasi,” katanya.
Pelaksanaan SULAM KidSafe merupakan usaha untuk merapatkan hubungan universiti bersama komuniti setempat melalui program perkongsian ilmu di samping menyemai disiplin dan pengetahuan berkaitan keselamatan jalan raya.
“Ini secara langsung dapat mempamerkan komitmen pelajar sebagai duta UTHM terhadap isu kemalangan jalan raya yang sering berlaku di Batu Pahat, Johor.
“Program ini juga telah mengeratkan hubungan antara UTHM dan UMB dan diharapkan program ini dapat dilaksanakan lagi pada masa hadapan,” kata Dr. Munzilah.