BATU PAHAT, 29 Mei 2023 – Majlis Profesor Universiti (MPU), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah mengadakan lawatan kerja ke Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Batu Pahat bagi memperkukuh hubungan kolaborasi dua hala yang telah lama terjalin.
Untuk rekod, MPU UTHM yang telah ditubuhkan pada 1 September 2010 adalah satu badan sebagai kumpulan pemikir yang bertanggungjawab memberi idea, menyusun strategi, menasihat dan membuat syor untuk menambahbaik kedudukan UTHM sebagai institusi pendidikan TVET bertaraf global berdasarkan biang tujahan Teknologi Lestari dan Pengangkutan.
Lawatan kerja itu telah diketuai oleh pengerusi MPU, Profesor Ts. Dr Rosziati Ibrahim, Profesor Sr. Dr. Rozilah Kasim mewakili Pusat Penyelidikan PRoFMs dan Professor Ts. Dr Seow Ta Wee yang mewakili pusat penyelidikan CSIEM bersama 10 pensyarah merangkap penyelidik dari Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan (FPTP).
Kunjungan tersebut disambut baik oleh Pegawai Pendidikan Daerah Batu Pahat, Dr. Suhaimi Ismail serta Pegawai-pegawai Kanannya.
Objektif lawatan kerja ini ialah untuk memperkukuh hubungan kolaborasi sedia ada dan meneroka hubungan kolaborasi akan datang.
Hubungan baik yang terjalin antara MPU UTHM dan PPD Batu Pahat itu diharap dapat membuka peluang kedua-dua pihak untuk berkerjasama dalam bidang yang memfokuskan kepada pendidikan, perundingan, penyelidikan, penerbitan, latihan, perkongsian kepakaran dan maklumat serta khidmat sosial (CSR).