Oleh Wan Muhammad Idham Wan Mahdi
KULAI – Bagi meneroka dan mempelajari piawai pengurusan industri sawit, kumpulan penyelidik Model Pusat Timbang, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) ke Pusat Pemprosesan Kelapa Sawit Sime Darby (Hadapan Mill) yang terletak di Sedenak, Kulai, Johor pada 22 Mac yang lalu.
Mereka terdiri daripada staf akademik dan pelajar pasca-siswazah dari Jabatan Pengurusan Perniagaan, Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan (FPTP), staf P&G Center for Sustainable Small-Owner, Asia School of Business (ASB P&G CSS) bersama wakil pekebun kecil dari Pertubuhan Tani Niaga Lestari Johor (PERTANIAGA).
Program itu bertujuan untuk memberi pendedahan kepada penyelidik dan juga pekebun kecil di sekitar Batu Pahat dan Pontian mengenai pengurusan di Pusat Pemprosesan Kelapa Sawit dan juga memahami piawai yang diguna pakai untuk menilai buah tandan segar (Fresh Fruit Bunch) yang dihantar untuk diproses.
Program tersebut merupakan sebahagian daripada komitmen UTHM untuk membantu meningkatkan lagi kompetensi dan piawai pengurusan di Pusat Pengumpulan dan Timbang Kelapa Sawit negeri Johor, terutamanya yang terlibat dalam program ‘P&G Smallholder’ yang diusahakan secara bersama oleh syarikat terkemuka, Procter & Gamble (P&G) dan ASB P&G CSS.
Menurut ketua penyelidik Model Pusat Timbang, Prof. Madya Dr. Abd Rahman Ahmad, lawatan ini telah memberikan pengalaman yang bermakna untuk lebih memahami proses pengurusan dan praktis yang diguna pakai oleh organisasi kelapa sawit terkemuka di dunia, selain meningkatkan hubungan antara akademia dan industri dalam usaha melestarikan amalan pengurusan sawit terbaik dalam kalangan pekebun kecil dan Pusat Timbang.
“Fokus projek yang dilaksanakan adalah untuk meningkatkan pengetahuan dan kompetensi pekebun kecil serta pusat pengumpulan sawit yang merupakan tulang belakang dalam industri kelapa sawit di Malaysia dan kejayaan mereka sangat signifikan dalam memastikan sektor ini berkembang dengan mampan,” katanya.
Dalam pembentangan mengenai inisiatif yang dilaksanakan Sime Darby terhadap komuniti sawit di Malaysia, Pengurus Besar Kemampanan Rantaian Nilai, Sime Darby Plantation, Mohamad Pirabaharan amat berbesar hati menerima kedatangan delegasi sekali gus berkongsi ilmu dan kepakaran yang dimiliki Sime Darby bersama pihak akademik dan pekebun kecil.
“Sime Darby Plantation sentiasa komited dalam memastikan semua pihak yang terlibat dalam rantaian nilai kelapa sawit menuju ke arah kemampanan bagi memastikan agenda kelestarian dapat dicapai untuk kebaikan dan kemajuan Bersama,” katanya.
Delegasi turut dibawa melawat ke sekitar pusat pemprosesan sawit dan diberi penerangan berkaitan proses operasi serta cara bagaimana penentuan gred buah tandan segar dilaksanakan oleh penyelia bertugas.