Oleh Dr. Mohd Faisal Hushim, Ts. Suhairi Ismail, Ts. Dr. Md Norrizam Mohmad Ja’at @ Mohd Noh

BATU PAHAT – Bersempena dengan bulan Ramadan yang diturunkan kitab suci di dalamnya, Kolej Kediaman Kampus Pagoh (KKKP), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah menyumbang 110 naskah al-Quran kepada warga Sekolah Kebangsaan Peserai (SKP), Batu Pahat untuk dimanfaatkan.

Sumbangan tersebut telah disampaikan oleh Pengetua KKKP, Ts. Suhairi Ismail kepada Guru Penolong Kanan 1, Mohd Norfahiz Mohd Pathan selaku selalu wakil SKP.

Kitab al-Quran yang diterima bakal diagihkan kepada 105 murid tahun enam dan lima murid Berkeperluan Pendidikan Khas.

Turut serta dalam penyerahan tersebut, Timbalan Pengetua 1, KKP, Dr. Mohd Faisal Hushim dan Timbalan Pengetua 2, Ts. Dr. Md Norrizam Mohmad Ja’at @ Mohd Noh.

Menurut Suhairi, sumbangan al-Quran itu disampaikan beberapa hari sebelum hari Nuzul al-Quran bagi membolehkan pihak sekolah mengagihkannya kepada murid-murid untuk digunakan bermula pada hari sambutan peristiwa tersebut.

“Sumbangan al-Quran ini merupakan salah satu inisiatif tanggungjawab khidmat sosial KKKP kepada masyarakat luar,” jelas beliau.

Al-Quran itu juga akan digunakan dalam Program Khatam Quran yang dijalankan sepanjang tahun sesi 2023/2024.

“Diharap sumbangan al-Quran ini akan menyemarakkan lagi semangat cintakan ilmu dan pengamalan agama dalam kalangan murid sekolah,” kata Suhairi.

 

 

Berita ini juga diterbitkan di:

1. Malaysia Gazette (malaysiagazette.com), 1 Mei 2023: Murid SK Peserai terima 110 naskhah al-Quran

https://sinarbestari.sinarharian.com.my/sekolah-kebangsaan/murid-sk-peserai-terima-110-naskhah-al-quran