BATU PAHAT – Institut Ahli Sunnah wal Jamaah (iSWAJ) bersama Pusat Pengajian Umum dan Kokurikulum (PPUK), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah menganjurkan Simposium Pengurusan dan Pelaksanaan Sertu dalam Industri Halal di Malaysia pada 21 Mac 2023 lalu bertempat di Perpustakaan Tunku Tun Aminah, kampus induk.
Penganjuran simposium itu menjadi program pertama yang dilaksanakan di peringkat kebangsaan.
Seramai 25 peserta terdiri daripada pemain industri halal dan sertu, pegawai dari Bahagian Pengurusan Halal, Jabatan Agama Islam Negeri dan para penyelidik dalam kalangan staf akademik universiti awam telah menyertai simposium tersebut.
Dr. Wan Ainaa Mardhiah Wan Zahari, ketua penyelidik dalam Projek Pengurusan Dan Pelaksanaan Sertu Dalam Industri Halal di Malaysia berkata penganjuran simposium itu diadakan bertujuan membincangkan isu dan mendapatkan cadangan amalan terbaik dalam pelaksanaan sertu industri di Malaysia.
Simposium tersebut diisi dengan forum bertajuk ‘Isu dan Cabaran Sertu di Malaysia’ yang melibatkan tiga ahli panel iaitu Azri Hussin dari Industri Global Dibagh, Profesor Dr. Farawahida Mohd Yusof dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Ustaz Tn. Hj. Mustafa Omar dari Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) serta Dr. Wan Ainaa Mardhiah Wan Zahari dari UTHM sebagai moderator.
Pengarah Iswaj, Tuan Haji Mustapahayuddin Abdul Khalim yang juga perasmi simposium dalam ucapannya berkata kepentingan sertu kini semakin mendapat perhatian sehingga timbul beberapa persoalan untuk melihat aspek praktikaliti dan kaedah pelaksanaan sertu dalam industri halal di Malaysia,
Tambah beliau, aspek prosedur dan pengurusan sertu juga perlu diteliti memandangkan sertu diletakkan di bawah bidang kuasa Jabatan Agama Islam negeri.
Hasil penganjuran simposium itu, UTHM di bawah pengurusan iSWAJ bakal mewujudkan satu resolusi berkaitan pelaksanaan sertu dalam industri Halal di Malaysia untuk dijadikan panduan kepada pihak yang memerlukan pada masa hadapan.
Kerjasama antara iSWAJ, pihak industri dan JAIN melalui elemen kursus dan latihan akan memberi ruang dan peluang yang lebih besar dalam memanfaatkan ramai pihak.