BATU PAHAT, 13 Mac 2023 – Fakulti Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah menubuhkan Skuad FKEE Prihatin bagi membantu mangsa banjir yang terjejas sekitar kawasan Parit Raja, Batu Pahat.
Sebagai permulaan, skuad yang diterajui oleh Kelab Staf FKEE itu melaksanakan misi bantuan banjir di sekitar kampus induk UTHM.
Misi tersebut disertai Dekan FKEE, Prof. Madya Ts. Dr. Asmarashid Ponniran, Pengerusi Kelab Staf FKEE, Prof. Madya Dr. Maisara Othman dan staf-staf fakulti.
Skuad FKEE Prihatin yang dikendalikan oleh Ketua JK Tugas Khas, K. Kovalan A/L Kanawathi melibatkan beberapa fasa bantuan iaitu semasa dan pasca banjir khusus untuk warga FKEE serta komuniti setempat yang terjejas banjir.
Bantuan yang diberikan semasa fasa pertama berbentuk makanan kering dan keperluan diri seperti bantal, tuala, tikar, tilam dan lampin pakai buang yang melibatkan nilai keseluruhan sumbangan berjumlah RM2,500.
Manakala fasa kedua iaitu pasca banjir pula melibatkan kerja-kerja pembersihan di tujuh kediaman warga FKEE.
Sumbangan berbentuk peralatan pembersihan seperti waterjet turut disumbangkan oleh warga fakulti sebagai usaha memudahkan aktiviti pembersihan dilakukan.
Menurut Dekan FKEE, aktiviti kesukarelawanan seumpama itu akan diteruskan lagi bagi membantu mangsa banjir yang lain.
Beliau berterima kasih kepada semua sukarelawan yang telah memberi komitmen penuh sepanjang melaksanakan misi tersebut dan berharap bantuan yang diberikan dapat meringankan beban mangsa banjir.