BATU PAHAT – Sekretariat Rukun Negara (SRN), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) berjaya melaksanakan lima program hasil sumbangan geran pelaksanaan program Uniti Siswa daripada Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) berjumlah RM5 ribu yang diberi sebelum ini.

Melalui peruntukan geran tersebut, SRN UTHM berjaya melaksanakan program Uniti FunWalk, Uniti E-Games, Pertandingan Fotografi Keluarga Malaysia, Naratif Baharu Kepimpinan Muda dan Pertandingan Seni Warisan dan Silang Budaya.

Penganjuran kelima-lima program tersebut berjaya menarik lebih 1000 peserta dari pelbagai latar belakang.

Sebagai penutup tirai 2022, SRN UTHM telah menganjurkan Pentas Akhir Uniti Siswa: Pertandingan Seni Warisan dan Silang Budaya pada 20 Disember lalu bertempat di Dewan Sultan Ibrahim, kampus induk.

Majlis yang dihadiri kira-kira 700 tetamu itu telah disempurnakan oleh Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JPNIN, Kementerian Perpaduan Negara, Zulkifli Hashim.

Turut hadir, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Sr Ts. Dr. Hj. Lokman Hakim Hj. Ismail, Provost UTHM Kampus Cawangan Pagoh, Profesor Ts. Dr. Kamarulzaki Mustafa, Pengarah Bahagian Kesepaduan Sosial dan Integrasi Nasional JPNIN, Fairojibanu Zainal Abidin dan Penasihat SRN UTHM, Farah Deena Md. Rapee.

Pentas akhir tersebut menyaksikan enam peserta akhir telah disenarai pendek oleh para juri termasuklah penyertaan dari Kuala Lumpur dan Indonesia.

Menariknya, setiap persembahan dituntut untuk mempamerkan elemen silang budaya atau patriotisme selaras dengan peranan dan fungsi penubuhan sekretariat itu.

SRN UTHM amat berterima kasih kepada pihak JPNIN kerana memberi sumbangan geran tersebut yang membolehkan pihak mereka melaksanakan aktiviti yang dapat memberi manfaat kepada para pelajar khususnya.

“Pihak kami berharap selepas ini akan ada lebih banyak bentuk kerjasama strategik bagi menyemarakkan lagi semangat perpaduan kaum di negara yang tercinta ini,” kata Farah Deena.

 

*Gambar-gambar sekitar program