Oleh siti nur hanisah hamidon, Sofea Shaiful Bhari, fadillah ismail
PONTIAN – Seramai 34 pelajar Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) bergotong royong menanam 400 anak pokok bakau di kawasan Batu 38 ½, Pantai Rimba Terjun pada 14 Januari 2023 lalu bersempena Kempen Penanaman 100 Juta Pokok yang dilaksanakan bermula pada 2021 sehingga 2025.
Program kesukarelawanan yang dinamakan ‘Trees & Me’ itu melibatkan pelajar Kursus Kokurikulum Berkredit Pengurusan Diri, Seksyen 3, Pusat Pengajian Umum dan Kokurikulum (PPUK) dibawah seliaan pengajarnya, Siti Nur Hanisah Hamidon dan dibantu oleh enam pegawai dari Jabatan Perhutanan Negeri Johor (JPNJ).
Program penanaman pokok bakau ini diadakan bertujuan untuk meningkatkan kesedaran masyarakat khususnya warga UTHM mengenai pentingnya penjagaan kawasan litupan hijau dan hutan untuk kesejahteraan hidup manusia, selain sebagai usaha menambahbaik ekosistem dan biodiversiti negara.
Program ini juga bagi meningkatkan kesedaran dan tanggungjawab pelajar dalam memulihara hutan bakau sekali gus memberi pendedahan kepada mereka tentang kemahiran dalam mengatasi cabaran Sustainable Development Goals (SDG) yang ke-15 khususnya berkaitan hidupan darat.
Program Trees & Me itu telah disempurnakan oleh Penolong Pengarah (Silvikultur dan Perlindungan), JPNJ, Mohd Shukri Mohd Alip dalam satu majlis ringkas yang diadakan pada hari yang sama.
Beliau dalam ucapannya menzahirkan penghargaan dan rasa terima kasih kepada UTHM, khususnya PPUK kerana menganjurkan program seumpama itu demi menyahut Program Penghijauan Malaysia.
“Saya berharap program bermanfaat seperti ini dapat diteruskan lagi bagi merealisasikan agenda penghijauan dengan mengekalkan sekurang-kurangnya 50 peratus daripada keluasan tanah negara dilitupi kawasan berpokok atau berhutan menjelang tahun 2025,” katanya.
Berita ini juga diterbitkan di:
1. Sinar Bestari (sinarbestari.sinarharian.com.my), 2 Februari 2023: 400 pokok ditanam bagi menjayakan Kempen Penanaman 100 Juta Pokok