Oleh Prof. Madya Chm. Dr. Hatijah Basri

BIDOR – Fakulti Sains Gunaan dan Teknologi (FAST) melalui Panel Fizik dan Jabatan Siswazah, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dengan kerjasama Gading Kencana menyantuni  anak-anak Orang Asli suku Semai.dari Sekolah Kebangsaan Pos Gedong Bidor (SKPGB), Perak pada 25 November 2022.

Program khidmat komuniti yang melibatkan penyertaan 87 pelajar SKPGB itu diadakan bertujuan untuk menarik minat pelajar terhadap bidang Sains dan Matematik.

Guru Besar SPKGB, Cikgu Amir Hamzah dalam ucapannya melahirkan rasa syukur dan berterima kasih kepada UTHM kerana menjalankan program yang bermanfaat seumpama itu.

Program yang diadakan buat kali kedua itu diketuai oleh Ketua Jabatan Fizik dan Kimia, Dr. Afishah Alias dan dibantu oleh dua pensyarah FAST, Prof. Madya Chm. Dr. Hatijah Basri dan Prof. Madya Dr. Rosmila Abdul Kahar serta empat pelajar fakulti terbabit.

Program yang berlangsung selama empat jam itu diisi dengan aktiviti santai yang menguji minda peserta berkaitan Sains dan Matematik.

Turut diadakan, aktiviti merangka model kapal terbang bagi menguji kreativiti peserta, eksperimen Sains yang bertujuan menarik minat peserta terhadap bidang tersebut dan pengenalan Matematik dari aras mudah ke sederhana menggunakan model dan kertas latihan.

Selain UTHM, program khidmat komuniti itu juga turut ditaja oleh Gading Kencana selaku industri yang menjalinkan kerjasama bersama FAST sejak tahun 2022, dengan menyediakan cenderahati dan kelengkapan beraktiviti khas untuk para peserta.

Menurut Dr. Afishah, selain beraktiviti para pensyarah juga mengambil masa untuk mendekatkan diri dan beramah mesra dengan anak-anak Orang Asli sekali gus menyelami kehidupan mereka bersama keluarga masing-masing.

Sesi ukwah tersebut juga bertujuan mendorong minat mereka untuk belajar sehingga ke peringkat yang lebih tinggi.

“Apabila mengetahui anak-anak tersebut terpaksa menyusuri perjalanan yang sukar seperti perlu meredah hutan, bukit dan sungai untuk sampai ke SKPGB demi menuntut ilmu, timbul rasa insaf dan syukur dalam diri kami.

“Pihak kami mendoakan agar para pelajar ini sedikit sebanyak mendapat inspirasi dan motivasi untuk meneruskan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi selepas ini bagi mengubah nasib diri,keluarga dan kaum mereka,” katanya.

 

Berita ini juga diterbitkan di:

1. Media Digital Johor (mediadigitaljohor.gov.my): UTHM tarik minat anak Orang Asli kuasai Sains dan Matematik

https://mediadigitaljohor.gov.my/uthm-tarik-minat-anak-orang-asli-kuasai-sains-dan-matematik/

 

2. Malaysia Gazette (malaysiagazette.com) : Sukarelawan UTHM tarik minat anak Orang Asli Suku Semai kuasai sains, matematik

https://malaysiagazette.com/2022/12/14/sukarelawan-uthm-tarik-minat-anak-orang-asli-suku-semai-kuasai-sains-matematik/