Kosmo Ahad, 4 Disember 2022:

 

Oleh MOHD. SHARKAWI LONDING

DURIAN sudah pastinya sinonim dengan masyarakat Malaysia dan apabila tiba musimnya, peminat tegar ‘berebut-rebut’ mengintai lokasi untuk menikmati aroma, tekstur serta variasi rasa raja buah itu.

Kepelbagaian sebegini pastinya menjadi buruan sang penggemarnya untuk benar-benar merasakan kepuasan daripada buah bermusim itu di bumi bertuah ini. Namun, seorang pencinta seni pembuatan alat muzik tradisional Melayu yang menetap di Parit Sumarto, Parit Raja, Batu Pahat, Johor tidak menjadikan raja buah itu sebagai buruannya, sebaliknya batang pokok durian.  Batang pokok durian merupakan bahan utama untuk menghasilkan peralatan kesenian muzik yang dikenali sebagai Jidor.

Jidor merupakan salah satu alat muzik tradisional yang dikatakan berasal dari Kepulauan Jawa, Indonesia dan tergolong dalam kumpulan gendang.

Menurut pengusaha kompang dan jidor, Mokhtar Abdul Hamid, 43, jidor dalam masyarakat Melayu khususnya di ‘ tanah hujung’ yang makmur, Johor Darul Takzim merupakan pelengkap kepada muzik kompang.

“Di Johor ini, kalau main kompang untuk meraikan raja sehari, keraian, atau pertandingan rasa macam lengkap tanpa jidor.

“Jidor ibarat dram dalam muzik moden sekarang ini. Ia menghasilkan bunyi bass yang ‘sedap’ seiring dengan paluan kompang, rasa gegarannya mampu naikkan bulu roma kita,” katanya ketika ditemui Panorama di kediamannya di Batu Pahat baru-baru ini.

Menurut b a p a empat cahaya mata ini, untuk menghasilkan jidor yang berkualiti, dua material utamanya ialah kayu untuk menghasilkan ‘body’ gendang serta kulit kambing.

Ujarnya, kayu daripada batang pokok durian merupakan pilihan terbaik untuk dijadikan rangka gendang jidor kerana keras, tahan lasak, tidak mudah pecah serta mudah mendapatkan bahan tersebut.

Kata lelaki dilahirkan di Kampung Tonjos, Pekan Jabi, Segamat itu, dia pernah gunakan kayu lain termasuk kayu pulai, namun kualitinya agak rendah dan mudah pecah.

“Kayu durian ini senang dapat di sekitar kampung ini. Kami beli dengan penduduk kampung sekitar dengan harga lingkungan RM30 hingga RM40 yang sudah siap dipotong.

“Kayunya juga kita boleh dapat dalam pelbagai saiz, ada kecil, sederhana dan besar, sebab jidor yang kita buat pun saiz berbeza-beza,” kongsinya.

Seterusnya, kayu yang telah dipotong mengikut saiz jidor 14 inci, 16 inci dan 18 inci ditebuk terlebih dahulu pada bahagian tengah dengan menggunakan peralatan moden iaitu mesin penebuk kayu.

Usai ditebuk, kayu durian ini akan dijemur selama kira-kira tiga minggu sebelum dipasang kulit kambing.

Mokhtar berkata, kulit kambing tua yang berusia lebih dua tahun dan tebal adalah pilihan terbaik kerana tidak mudah koyak selain berupaya hasilkan ‘kesedapan’ bunyi bass jidor.

Jelas lelaki itu, jika kulit nipis atau kulit kambing muda, ia lebih sesuai untuk membuat kompang kerana bunyi getaran lebih nyaring.

“Kulit kambing juga kita dapatkan sendiri daripada peniaga-peniaga di pasar berdekatan serta ada juga dibeli sedia kering daripada orang kampung yang jual kulit kambing ni.

“Kulit yang dibeli dekat pasar, kami akan proses sendiri dengan buang bulunya diikuti proses jemur dalam masa antara empat atau lima hari bergantung keadaan cuaca,” katanya.

Sesudah kering, langkah seterusnya memasang kulit kambing ke atas kayu durian yang sudah digosok menggunakan kertas pasir bagi mendapatkan permukaan luaran yang rata.

Sebelum pasang, kulit atau belulang itu perlu dibasahkan supaya senang proses memasangnya pada bingkai permukaan besar.

Mokhtar memberitahu, skru dan nat dipasang pada badan utama untuk mengikat kulit kambing bagi menegangkannya dalam menghasilkan getaran bass.

Ujarnya, proses terakhir ialah ‘finishing’ iaitu memutihkan kulit kambing menggunakan kertas pasir serta mesin khas diikuti mengilatnya menggunakan cat jenis varnis.

Jelasnya, proses pembuatan kompang sedikit berbeza berbanding jidor.

Kayu halban yang ‘diimport’ dari hutan negeri Pahang digunakan untuk membuat bingkai atau gegelung bulat kompang. Bahan ini digunakan kerana mempunyai kualiti yang baik iaitu bersifat ringan, tahan lasak dan tidak mudah merekah.

“Stok-stok kayu halban yang sudah dipotong berbentuk blok segi empat ini kami beli dengan Orang Asli di sekitar Pahang termasuk di Rompin. Memang kita ada pembekal, kalau nak masuk sendiri dalam hutan tak boleh, kira menceroboh.

“Kalau Orang Asli tak mengapa sebab dah termaktub dalam undang-undang iaitu Akta Orang Asli 1954, hasil hutan memang mereka dapat jual, jadi kita beli bantu mereka,” katanya.

Menurut Mokhtar, dia mula berkecimpung dalam industri pembuatan alat muzik tradisional ini seawal usia 12 tahun. Katanya, pada waktu itu dia ‘dipaksa’ arwah bapanya, Allahyarham Abdul Hamid Hitam untuk membantu dalam penghasilan kompang dan jidor.

“Semasa kami pindah dari Segamat ke Batu Pahat, bapa saya paksa saya belajar buat kompang dan jidor. Ini adalah sumber pendapata n keluarga kami, bapa cakap rugi kalau tidak belajar.

“Nanti warisan budaya kita terhakis, pupus dan hilang ditelan zaman,” katanya.

Sejurus arwah bapanya dijemput menghadap Ilahi pada tahun 2011, Mokhtar menyambung legasi itu secara sepenuh masa.

Berita ini juga diterbitkan di:

1. kosmo.com, 4 Disember 2022: Legasi perusahaan instrumen muzik tradisional jidor di Johor

https://www.kosmo.com.my/2022/12/04/legasi-perusahaan-instrumen-muzik-tradisional-jidor-di-johor/