Kosmo Ahad, 4 Disember 2022:
KESENIAN muzik kompang dan jidor atau kompang jidor khususnya yang lahir dari negeri selatan tanah air, Johor perlu dijaga selain diangkat ke persada dunia agar tidak lapuk dek hujan, tidak lekang dek panas.
Pensyarah Ko- Kurikulum (Kompang), Universiti Tun Hussien Onn Malaysia (UTHM) di bawah Pusat Pengajian Umum Dan Kokurikulum, Mohd. Nizam Talib berkata, seni budaya warisan masyarakat Melayu itu tidak ditelan peredaran zaman.
Ujarnya, bagi merealisasikan kelestarian seni muzik tradisional itu memerlukan usaha serta kerjasama daripada pelbagai pihak termasuklah persatuan seni d an pihak pemerintah negeri mahupun peringkat Persekutuan.
“Antara usaha yang kita laksanakan adalah menganjurkan pertandingan kompang jidor di semua 10 peringkat daerah ke negeri dan seterusnya ke peringkat kebangsaan.
“Di Johor sendiri, mengikut statistik kita terdapat lebih 100 persatuan kompang yang aktif mengangkat budaya seni warisan yang tidak ternilai ini,” katanya kepada Panorama.
Mohd. Nizam yang juga Penggerak Kesenian Muzik Kompang Johor berkata, pihaknya telah pun membawa keindahan paluan kompang dan ketukan gendang jidor ke mata dunia termasuk Jepun dan Australia.
Malah, mereka turut mendapat penghormatan serta menjadi kontinjen pertama membuat persembahan pada Perasmian Sukan Para Olimpik Jepun 2018.
“Pihak kami bercadang dan dalam perancangan untuk membawa kesenian ini ke lebih banyak negara terutamanya di Eropah, Asia serta Timur Tengah,” katanya.
Jelas Mohd. Nizam, pihaknya juga sedang mempergiatkan usaha dengan bekerjasama dengan sekolah sekitar Johor sebagai langkah memperkukuhkan akar umbi kesenian ini.
Katanya, generasi yang baru lahir perlu dipupuk dengan rasa cinta akan budaya, seni dan warisan agar terus ‘hidup dan segar’ dalam masyarakat.