“Saya sangat berterima kasih kepada arwah ayah yang meninggalkan kebun sawit untuk kami sekeluarga meneruskan kelangsungan hidup.
“Hasil kebun kelapa sawit ini saya gunakan untuk membiayai kos pengajian saya di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM),” kata Azlan Shah Masrom, seorang pengusaha kebun kelapa sawit.
Bapa kepada tiga anak dari Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan (FPTP) akhirnya berjaya menggengam Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan pada Konvokesyen ke-22 UTHM.
“Rezeki tidak datang bergolek jika tidak berusaha, untuk mendapatkan hasil saya melakukan sendiri kerja-kerja membersihkan kebun dan mengutip hasil kerana telah mendapat pendedahan daripada arwah bapa seawal usia tujuh tahun.
“Bekerja sambil belajar itu bukanlah masalah kepada saya memandangkan sejak kecil lagi saya diajar untuk hidup berdikari, lagipun ilmu yang didapati sepanjang pengajian di universiti ini saya praktikkan juga dalam pengurusan kebun,” katanya.
Selain belajar dan menguruskan kebun, Azlan juga dilantik sebagai imam di sebuah surau secara sepenuh masa.
Namun tanggungjawab tersebut tidak menghalang dia untuk menyelesaikan pengajian sarjana dalam tempoh dua tahun seperti yang ditetapkan.
Bagi Azlan, cabaran dan ujian yang mendatang merupakan asam garam dalam kehidupan di dunia ini.
“Saya sangat bersyukur masih diberi kesempatan dan ruang untuk menjalani kehidupan ini dengan baik.
“Berbekalkan ilmu yang ditimba di universiti ini, saya berazam untuk menjadi insan yang bermanfaat untuk diri, keluarga, masyarakat dan seluruh umat Islam,” katanya.