Oleh Dr. Muhammad Ammar Shafi dan Muhammad Helmi Hayat Ma’hat
BATU PAHAT, 1 Nov 2022 – Kelab BPA Tech Buddies di bawah kelolaan Kelab Pengurusan Teknologi (TMB), Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan (FPTP), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah mengadakan program Meet and Greet BPA’s Lecturers bagi memberi ruang kepada pelajar BPA tahun satu dan dua serta para pensyarahnya mengenali antara satu sama lain dengan lebih dekat.
Program berkonsepkan santai tapi sampai itu merupakan program yang julung-julung kali dilaksanakan secara bersemuka bagi mengeratkan lagi hubungan setelah hampir dua tahun fakulti tersebut menjalankan aktiviti secara dalam talian.
Program yang diketuai Ummi Nurain Pakhrudin selaku pengarah program dan Dr. Muhammad Ammar Shafi selaku penasihat itu juga dilaksanakan bagi mengasah bakat kepimpinan dan pembentukan sahsiah diri terpuji pelajar khususnya dalam menggerakkan sesuatu program.
Hadir sama, Prof. Dr. Wan Fauzi @ Wan Fauziah Wan Yusoff, Dekan FPTP; Prof. Madya Dr. Azlina Md Yassin, Timbalan Dekan Akademik dan Antarabangsa; Dr. Sabariah Eni, Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni dan Dr. Wan Nurul Karimah Wan Ahmad, Ketua Jabatan FPTP; para pensyarah Jabatan Pengurusan dan Teknologi (JPT) dan wakil Majlis Perwakilan Pelajar FPTP.
Menurut Dekan FPTP, Program Meet and Greet BPA’s Lecturer ini merupakan satu program yang terbaik pernah dilaksanakan oleh Kelab BPA Tech Buddies setelah dua tahun berdepan dengan pandemik Covid-19.
Pelbagai aktiviti yang dijalankan antaranya senamrobik, latihan dalam kumpulan (LDK) seperti, ‘Fast and Furious,’ ‘Radio Rosak’ dan ‘Catch Me If You Can and Find Me’ dan ‘Lucky Draw.’
“Saya berharap aktiviti seperti ini dapat diteruskan lagi bagi membentuk sifat jasmani dan kerohanian pelajar pada masa akan datang, di samping dapat mengurangkan tekanan pelajar terhadap pembelajaran akademik sekali gus dapat melahirkan pelajar yang sihat fizikal dan mental,” kata Prof. Wan Fauziah.