BATU PAHAT, 4 Okt 2022 – Industri Halal kini tersebar luas dan permintaan terhadap latihan dan perkhidmatan halal semakin meningkat kian hari. Sebagai salah satu usaha menyokong perkembangan industri ini, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah diiktiraf oleh Majlis Profesional Halal Malaysia (HPB), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sebagai salah satu institusi di Malaysia sebagai Penyedia Latihan Halal (PLH) pada 12 September 2022.
Pelantikan ini melayakkan UTHM untuk menganjurkan program-program berkaitan halal terutamanya program bagi Sijil Profesional Eksekutif Halal dan Audit Dalaman Halal.
UTHM kini boleh menyasarkan orang awam perseorangan, industri, baik muslim atau bukan muslim bagi mempelajari lebih lanjut berkaitan halal.
Terkini, sebanyak 28 pusat penyedia latihan dilantik oleh JAKIM dalam kalangan universiti dan institusi pengajian tinggi di negara ini.
Bagi memperkenalkan UTHM sebagai PLH kepada orang ramai, Institut Ahli Sunnah Wal Jamaah (iSWAJ), UTHM dengan kerjasama UTHM Education and Training (UET) bersama rakan strategik Al-Hambra Ventures Sdn. Bhd. telah menyertai Festival Islam & Halal Antarabangsa Johor 2022 (FIJO 2022) bertempat di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor selama 4 hari bermula pada 29 September hingga 2 Oktober 2022.
Melalui festival ini, iSWAJ telah memperkenalkan pelbagai program latihan halal serta memperkenalkan halal kepada kanak-kanak melalui penjualan buku Kenali Makanan Halal dan Tayyib dan Ramuan Bahan Halal dan Tayyib.
Pengarah Eksekutif HMP, Dr. Muhammad Suhaimi Datuk Hj Sulong merangkap Ketua Jabatan iSWAJ, UTHM berkata usaha memperkenalkan halal dari peringkat akar umbi amat penting dan festival ini dilihat sebagai salah satu platform bagi mengetengahkan idea ini.
“Hasil maklum balas yang diterima, pihak kami mendapat sambutan yang amat memberangsangkan dari para pengunjung kerana mereka amat berminat untuk menyertai program-program halal yang bakal diadakan.
“Kebanyakkan mereka terdiri daripada para peniaga industri kecil dan sederhana yang sedang berusaha mendapatkan sijil halal bagi syarikat yang mereka bangunkan agar orang ramai lebih yakin untuk membeli,” katanya.
Kini, melalui pengiktirafan sebagai PLH JAKIM, UTHM dapat membantu para peniaga, pengusaha, usahawan dari industri mikro, kecil dan sederhana dan juga organisasi untuk mendapatkan pensijilan halal dari JAKIM melalui program-program latihan yang bakal dijalankan.