Oleh Ir. Dr. Ahmad Hamdan Ariffin
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) mengambil peluang berkongsi pengetahuan berkaitan peluang kerjaya serta teknologi asas bidang aeronautik kepada pelajar sekolah semasa berlangsungnya Program Eksplorasi STEM Aeronautik dan Webinar Kerjaya 2022.
Program perkongsian ilmu tersebut berlangsung pada 15 dan 16 Oktober 2022 lalu bertempat di Sekolah Menengah Kebangsaan Dato’ Ali Haji Ahmad (SDAHA).
Prof. Madya Ts. Dr. Mohamad Fahmi Abdul Ghafir, Pensyarah Kanan Jabatan Aeronautik, Fakulti Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan (FKMP), UTHM yang mewakili Pusat latihan penerbangan milik UTHM (AATA) telah berkongsi peluang kerjaya di bidang penerbangan dalam sesi webinar yang dihadiri lebih kira-kira 2000 peserta seluruh negara.
Manakala Ts. Dr. Syariful Syafiq Shamsudin, Ts. Dr. Aslam Abdullah dan Dr. Muhammad Faiz Ramli pula berkongsi tentang program yang ditawarkan di UTHM serta ilmu asas berkaitan teknologi aeronautik melalui peganjuran satu sesi bengkel secara bersemuka.
Dalam bengkel tersebut, Dr. Syafiq dan Dr. Aslam mempromosi bidang sains dan teknologi serta mengajak peserta menceburi bidang aeronautik.
“Ilmu ini sangat penting untuk dimiliki oleh generasi muda bagi memastikan kelestarian pengetahuan dan ketamadunan negara Malaysia,” kata Dr. Syafiq.
Program Webinar Kerjaya itu dilaksanakan secara hibrid iaitu secara bersemuka dan dalam talian dengan mengumpulkan ahli panel dari syarikat Asia Aeronautical Training Academy (AATA), Akademi Laut Malaysia (ALAM) dan Universiti Teknologi Malaysia.
Manakala tiga bengkel secara bersemuka juga turut diadakan iaitu Bengkel Penghasilan Pesawat Glider, Bengkel Kerjaya dan Asas Teknologi Aeronautik serta Bengkel Kawalan Jauh Pesawat Kecil yang melibatkan penyertaan 16 sekolah sekitar Pontian.
Penganjur turut menyediakan ruang pameran dan jualan kepada pengunjung dan peserta yang mengikuti program tersebut.
Wakil FKMP, Ir. Dr. Ahmad Hamdan Ariffin dan Mohd Nizam Katimon tidak melepaskan peluang untuk turut sama menyertai pameran akademik berkaitan kursus yang ditawarkan di UTHM.
Beberapa agensi lain turut terlibat iaitu Persatuan Aerofly Johor dan Aerofc Semarang yang mempamerkan rekaan model kapal terbang kawalan jauh yang dihasilkan oleh persatuan masing-masing.