Majalah Sains.com, 8 Oktober 2022 :

Sektor perladangan terutamanya kelapa sawit menjadi nadi utama di kebanyakkan negara. Tidak dinafikan betapa besarnya anugerah ilahi ini terhadap sektor ekonomi dan pendapatan negara. Seringkali kita mendengar sumbangan pokok kelapa sawit dalam pelbagai bidang sama ada dalam sektor industri, makanan, pembuatan dan penjana peluang perkerjaan kepada peladang-peladang kecil. Penyelidikan demi penyelidikan telah dilakukan bagi memastikan pokok kelapa sawit dan hasilnya dapat dieksploitasi secara maksima.

Pernahkah kita, memandu kereta di lebuhraya sambil melintasi ladang kelapa sawit yang pokoknya  ditanam secara berlereng, disusun berbaris dan bebas daripada semak-samun? Apakah emosi kita ketika itu? Adakah kita suka dengan kehijauan yang terbentang, memikirkan ekonomi yang dapat dijana oleh negara hasil daripada penanaman tersebut atau menerima ketentuan pokok itu sudah berada di situ atau tiada langsung emosi dan berlalu begitu sahaja. Bagi mereka yang mungkin terdedah kepada cara hidup yang berkaitan dengan ladang kelapa sawit, sudah pasti ianya memberikan 1001 memori yang bercampur-baur iaitu sama ada sedih atau gembira.

Apakah sains di sebalik kehijauan yang dipaparkan oleh ladang kelapa sawit yang terbentang luas tersebut? Ya, oksigen yang yang menjadi sumber utama udara manusia dihasilkan oleh tumbuhan yang menghijau termasuk kelapa sawit. Manusia memerlukan 95- 100% oksigen di dalam darah. Terdapat banyak faktor yang mempengaruhi kandungan oksigen tetapi sumber oksigen semuladi sudah pastinya adalah daripada tumbuhan. Manusia memerlukan oksigen untuk bernafas di mana oksigen dihasilkan oleh tumbuhan yang kemudiannya digunakan oleh manusia. Kitaran ini sentiasa berlaku dan setiap organisma yang terlibat adalah saling memerlukan. Walaupun terdapat banyak tumbuhan hijau di atas muka bumi ini, ladang kelapa sawit juga menyumbang kepada kandungan udara di ruang atmosfera bumi.

Sains merupakan perkara pokok yang penting dalam sektor perladangan. Apakah sains di sebalik pokok kelapa sawit yang berdiri megah ini? Bagaimanakah kita mengambil iktibar daripada kegigihan setiap warga yang terlibat dalam memastikan keunggulan sains ladang kelapa sawit yang dijaga? Apakah peranan kita dalam mengekalkan kelestarian sains dalam sektor ini?

Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka (Edisi Keempat) mendefinisikan sains sebagai ilmu pengetahuan yang teratur (sistematik) yang boleh diuji atau dibuktikan kebenarannya. Dalam situasi ini, ladang kelapa sawit adalah sebuah ekosistem yang terdiri daripada tumbuhan, haiwan dan organisma lain. Ekosistem ini menghasilkan rantai makanan yang akhirnya bergabung membentuk siratan makanan. Rantai makanan adalah hubungan makanan antara hidupan yang mewujudkan pengaliran tenaga antara organisma bagi kelangsungan hidup mereka. Nah, di sinilah ekosistem berasaskan proses sains tercetus.

Warga kerja ladang kelapa sawit yang gigih bekerja setiap hari secara tidak langsung menyedia dan mengekalkan habitat bagi hubungan makanan yang ada. Sebagai contoh, buah sawit yang berwarna keemasan menjadi tarikan kepada tikus untuk memakannya. Ini boleh menyebabkan kerosakan pada buah-buah sawit. Kehadiran tikus menarik burung hantu untuk menjadikannya mangsa. Bahkan, kehadiran burung hantu pula menarik ular yang bertindak sebagai pemangsa untuk mendekatinya. Kitaran ini sentiasa berlaku. Jika kitaran ini terganggu, tikus akan menjadi banyak dan lebih banyak buah sawit akan rosak. Malah akan berlaku ketidakseimbangan terhadap ekosistem rantai makanan. Adakah kita mahu melihat hasil buah kelapa sawit yang ditanam di ladang hasil daripada peladang yang bekerja demi sesuap nasi untuk keluarga mereka rosak begitu sahaja? Kawalan yang digunakan dalam rantai makanan ini dikenali sebagai kawalan biologi iaitu tidak menggunakan racun dalam mengawal populasi haiwan perosak. Kebanyakkan ladang kelapa sawit telah beralih arah menggunakan kaedah ini yang dijamin dapat memelihara alam sekitar dan kosnya lebih murah. Ini secara tidak langsung menyumbang ke arah proses sains yang lebih mapan.

Justeru, kelestarian sains boleh sahaja dicapai di mana- mana. Sama ada sumber kelestarian itu dari sektor kelapa sawit, ianya masih memberikan impak kepada proses sains itu sendiri. Maka, peranan kita adalah memastikan supaya situasi ini kekal dan dapat dinikmati oleh generasi akan datang.

Sumber : https://www.majalahsains.com/sains-dan-kelapa-sawit/

 

Dr. Siti Amira binti Othman

Fakulti Sains Gunaan dan Teknologi (FAST)

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)