Oleh Profesor Madya Ts. Dr. Hatijah Basri

BATU PAHAT – Bagi memastikan keselamatan dan kesihatan di tempat kerja terjamin, Pejabat Persekitaran, Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSHE), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah mengambil inisiatif menganjurkan kursus Kompetensi Simple Risk Assessment and Control for Chemicals (SiRAC) pada 16 hingga 19 Mei 2022 lalu.

Kursus SiRAC yang pertama kali diadakan di Malaysia ini merupakan metodologi yang dipermudahkan dan sebagai alternatif dalam penilaian risiko kimia terutama dalam kawalan risiko bahaya dan pendedahan kepada staf UTHM.

Kursus padat yang merangkumi empat modul iaitu Modul Legislative Requirements, SiRAC Control dan SiRAC Manual yang termasuk penilaian iaitu SiRAC Assessment telah disampaikan oleh penceramah bertauliah dan berpengalaman luas di industri iaitu Ir. Nimi Ahmad.

Seramai 20 peserta telah menyertai kursus itu termasuklah Pengarah OSHE, Prof. Madya Dr. Balkis A. Talip dan staf-staf pejabat tersebut sekali gus berjaya ditauliahkan bersama sijil penyertaan.

Pihak OSHE berharap penganjuran kursus seumpama ini bukan sahaja dapat menyokong slogan ‘UTHM Produces Professionals’ malah mampu memacu universiti ke arah penarafan dalam bidang keselamatan dan kesihatan pekerjaan.

“Semoga penglibatan staf dalam kursus SiRAC dapat membantu mengurangkan risiko pendedahan staf serta pelajar kepada bahan kimia berbahaya pada kesihatan (CHTH).

“Penglibatan serta komitmen yang ditunjukkan diharapkan dapat menyemarakkan lagi pembangunan dalam bidang keselamatan dan kesihatan pekerjaan di UTHM mahupun dalam konteks yang lebih besar, negara kita Malaysia,” kata Dr. Balkis.