Oleh Dr. Wan Nurul Karimah Wan Ahmad dan Prof. Ts. Dr. Alina Shamsuddin

Bagi memastikan program yang ditawarkan relevan seiring dengan kehendak industri dan negara, Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan (FPTP), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah membangunkan empat kluster elektif baharu bagi Program Sarjana Muda Pengurusan Teknologi dengan Kepujian (BPA).

Empat kluster elektif baharu itu iaitu Human Analytics, Data Analytics, Halal Management dan Logistics Management mula ditawarkan kepada pelajar BPA pada sesi 2021/2022.

Selain itu, teras bidang Pengurusan Teknologi juga telah ditambah baik melalui penawaran kursus baharu ‘Foresight for Technology Management’ dan penambahbaikan silibus kursus Pemindahan Teknologi, Pengurusan Inovasi dan Pengkomersilan dan Strategi Operasi untuk Pengurusan Teknologi.

Menurut Ketua Jabatan Pengurusan dan Teknologi, Dr. Wan Nurul Karimah Wan Ahmad, program BPA ini telah mula ditawarkan pada tahun 2003 dan merupakan antara program yang tertua di UTHM.

“Pembangunan program ini adalah sejajar dengan penubuhan fakulti pada tahun 2001.

“Sejak diperkenalkan, evolusi pembangunan program BPA sentiasa selari dengan hala tuju pembangunan ekonomi, sosial dan inovasi sains dan teknologi di Malaysia,” katanya.

Contohnya, semakan terkini kurikulum program BPA telah menjadikan polisi negara dan garis panduan berikut sebagai rujukan utama: 15 Key Economic Growth Areas (KEGA) dalam Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (SPV 2030) yang memfokuskan kepada KEGA 2 (Ekonomi Digital), KEGA 3 (Revolusi Industri 4.0), KEGA 6 (Halal dan Hub Makanan) dan KEGA 8 (Logistik, Pengangkutan dan Mobiliti Lestari); Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara 2021-2030 (DSTIN 2021:2030); 10/10 MySTIE; dan ciri-ciri graduan abad ke-21.

Tambah Dr. Karimah, struktur pembangunan program tersebut asalnya telah diambil daripada kredo untuk program Pengurusan Teknologi yang diperkenalkan oleh International Association for Management of Technology (IAMOT) di Amerika Syarikat.

“Kredo ini dijadikan sebagai panduan untuk program Pengurusan Teknologi di dunia dengan menggabungkan disiplin ilmu berteraskan pengurusan-teknologi (technology-management centered), teknologi (technology–centered),  fungsi korporat (corporate functions centered), dan disiplin ilmu lain yang sesuai.  

“Pada masa kini, struktur pembangunan kurikulum BPA adalah berdasarkan kepada Standard Program Pengajian Perniagaan Edisi Ke-2, 2021,” katanya.

Sehingga kini, program BPA telah menghasilkan seramai 1545 graduan iaitu sebanyak 15 kohort tenaga kerja yang telah ditempatkan di pelbagai industri di Malaysia dan di luar negara.

Keperluan industri yang semakin kompetetif telah memacu penambahbaikan terhadap kandungan, penyampaian serta penaksiran program ini.

Tambahan lagi, tanggungjawab untuk memastikan graduan diterima pasaran telah menjadikan program BPA sentiasa dinamik dan kompetitif.

Oleh itu, selaras dengan matlamat UTHM dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) untuk memastikan setiap pelajar memiliki sekurang-kurangnya satu sijil kompetensi, pelajar BPA berpeluang untuk mengikuti latihan yang bersesuaian dalam empat kluster elektif utama program.

Antaranya, sijil kompetensi Microsoft Power BI, Microsoft Dynamics 365, Microsoft AI Azure, Sijil Profesional Pengurusan Logistik dari Johor Port Skills Center dan Sijil Profesional Eksekutif Halal JAKIM.  

Pengenalan kluster elektif ini juga mampu untuk menyemarakkan kerjasama jabatan khususnya dengan industri yang terlibat dalam aktiviti penyampaian dan penaksiran program. 

Antara yang telah dilaksanakan ialah penglibatan kumpulan MyForesight dari Malaysian Industry-Government Group for High Technology (MIGHT) dalam latihan dan penilaian bersama Projek Sarjana Muda 1 dan 2, Malaysian Technology Development Corporation (MTDC) melalui program Profesor Adjung dan PETRONAS sebagai pensyarah jemputan dalam penyampaian kursus yang bersesuaian.

Kerjasama yang sedang direncanakan pula ialah penglibatan pelajar dalam projek bersama komuniti melalui program Service Learning Malaysia-University For Society (SULAM) dan Sekolah Angkat FPTP.

Reka bentuk kurikulum dan aktiviti pengajaran dan pembelajaran yang dirancang dalam program BPA dapat menghasilkan graduan yang kompeten untuk mengurus teknologi dalam semua aktiviti primer dan aktiviti sokongan sesebuah organisasi seperti yang ditakrifkan dalam Rantaian Nilai Porter (Porter’s Value Chain).

Matlamat utama program ini adalah bagi menghasilkan graduan profesional yang memiliki pengetahuan dan kemahiran tinggi dalam bidang Pengurusan Teknologi serta mempunyai sikap dan nilai yang mulia.

Ia adalah selari dengan aspirasi UTHM dan KPT untuk melahirkan ahli profesional dan teknologi yang bukan sahaja berdaya saing serta dapat memenuhi kehendak industri dan negara, malah bermanfaat kepada masyarakat.

 

 

Porter’s Value Chain