Tragedi peperangan di Ukraine telah memberi kesan yang agak besar terhadap harga pasaran minyak dunia. Malaysia tidak terkecuali menerima tempiasnya, apatah lagi kos yang terpaksa ditanggung oleh pihak kerajaan untuk menampung subsidi terutamanya RON 95.

Menteri kewangan Malaysia juga turut melahirkan kebimbangan dan mengumumkan cadangan untuk membuat kajian bagi menangani kenaikan kos minyak ini. Tidak dinafikan kenaikan harga minyak ini bakal memberi kesan besar terhadap kos sara hidup rakyat Malaysia tidak kira yang tinggal dalam kawasan bandar dan luar bandar. Ada yang mungkin cuba mengikat perut untuk mengurangkan beban kewangan dan sudah tentu majoriti akan membuat perancangan dan pelarasan semula bajet bulanan.  

Dalam sektor pengangkutan, kenaikan harga minyak ini memberikan impak yang pelbagai. Bagi yang tinggal dalam kawasan bandar seperti di Lembah Kelang, mereka mungkin ada pilihan pengangkutan awam, manakala kepada mereka yang mempunyai kenderaan kedua yang lebih ekonomi, ia boleh digunakan.

Bancian yang dijalankan oleh penyelidik UTHM, mendapati penduduk kawasan bandar di Lembah Klang dan Melaka lebih cenderung untuk membuat perubahan terhadap corak perjalanan mereka. Ini termasuklah menukar saiz kenderaan kepada yang lebih ekonomi seperti motosikal atau kereta bersaiz kecil. Selain itu tinjauan kepada mereka yang tinggal di bandar juga menunjukkan mereka bakal mengurangkan jumlah kekerapan perjalanan mereka sebagai satu usaha penjimatan kos harian. Tidak ketinggalan juga jumlah mereka yang memilih berkongsi kenderaan untuk ke tempat kerja juga didapati meningkat.

 Satu sektor yang dilihat sepatutnya mendapat manfaat daripada kenaikan harga petrol ialah pengangkutan awam. Sejak Covid-19 melanda, perkhidmatan pengangkutan bas dan kereta api di Malaysia telah menyaksikan penurunan besar dalam jumlah penumpang. Walaupun kini Covid-19 dalam kawalan, jumlah penumpang didapati masih belum mencapai jumlah seperti sebelum pandemik melanda negara.

Peningkatan harga minyak ini dilihat telah membantu mempertingkatkan bilangan penumpang untuk mod pengangkutan ini. Maklumat yang diperolehi dari pemain industri ini selari hasil tinjauan yang dilakukan mendapati terdapat kecenderungan penduduk kawasan bandar untuk beralih atau mempertingkatkan kekerapan menggunakan kenderaan awam, kesan peningkatan harga minyak yang lebih tinggi.

Sekiranya masyarakat bandar mempunyai alternatif sendiri untuk merancang pergerakan mereka bagi mengurangkan kos perjalanan, masyarakat luar bandar pula agak terhad dengan pilihan yang ada. Dengan perkhidmatan pengangkutan awam yang agak terhad dan tidak secekap dalam kawasan bandar, majoriti responden yang menjawap soal selidik melaporkan mereka tetap melakukan corak perjalanan seperti biasa walaupun berlaku peningkatan harga minyak yang tinggi. Mahu tidak mahu mereka terpaksa menanggung beban kewangan yang ada untuk kelangsungan hidup.

Untuk berkongsi kenderaan mereka berpendapat agak sukar kerana tidak ramai yang menuju ke lokasi yang sama. Namun mereka masih bersyukur sekurang-kurangnya masih mempunyai kenderaan persendirian dan tidak perlu berhadapan dengan kesesesakan jalan raya yang pastinya memerlukan penggunaan petrol tambahan.

 

 

 

Oleh:

Profesor Madya Dr. Munzilah Md. Rohani  dan Fatin Lyana Rahimi 

Smart Driving Research Center

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)