Pada era pasca Covid-19, kebanyakan pelajar sukar membuat pilihan terbaik sama ada perlu sambung belajar atau bekerja. Ini disebabkan oleh faktor ekonomi merudum yang menyebabkan pelajar cenderung memilih untuk tidak menyambung pengajian.
Menurut kajian yang telah dilakukan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia, hampir 72.1 peratus rakyat Malaysia memilih untuk tidak menyambung pengajian selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Rentetan itu, timbul beberapa persoalan adakah remaja-remaja lepasan SPM di Malaysia kini lebih memilih untuk bekerja berbanding menyambung pengajian ke peringkat yang lebih tinggi?
Mereka semestinya mempunyai alasan tersendiri kerana setiap orang pasti mempunyai sebab yang berbeza. Ada segelintir yang tidak memilih untuk menyambung pengajian selepas SPM adalah kerana hilang minat untuk belajar. Kita sedia maklum bahawa setiap pilihan dalam kehidupan mempunyai harga yang perlu dibayar sama ada secara langsung mahupun tidak. Dari kaca mata seorang pendidik, pilihan untuk menyambung pengajian bukanlah sesuatu yang tidak berbaloi. Tambahan pula, kelayakan pengajian tinggi membolehkan pelajar untuk mampu berdaya saing dalam industri di Malaysia berasaskan pengetahuan khusus yang menjurus kepada bidang masing-masing.
Bagi individu yang sudah ada pekerjaan, salah satu daripada sebab untuk melanjutkan pelajaran adalah untuk meningkatkan kemahiran sedia ada ke tahap yang lebih khusus. Walaupun mereka telah memasuki alam pekerjaan sejurus selepas tamat sekolah menengah, mereka masih mempunyai pilihan untuk bekerja sambil melanjutkan pelajaran. Contohnya dengan mengikuti program penilaian Akreditasi Pembelajaran Pengalaman Terdahulu (APEL), individu yang sudah ada pekerjaan diberi peluang untuk memperoleh asas pengetahuan yang lebih tinggi supaya mereka boleh meningkatkan kemahiran dan mempamerkan kebolehan menyelesaikan masalah yang lebih kukuh, tahap produktiviti yang lebih tinggi dan prestasi yang lebih baik secara keseluruhan.
Menyambung pengajian bukan hanya melibatkan ilmu dan kemahiran semata-mata, tetapi juga dapat membantu pelajar mempelajari kemahiran insaniah yang akan menjadi nilai tambah kepada mereka. Kemahiran insaniah ini merangkumi komunikasi yang baik, kerja berpasukan, perundingan, pemikiran kritis dan penyelesaian masalah. Setiap satu daripada ini boleh memberi nilai tambah kepada pekerjaan masa hadapan terutama dalam industri yang diceburi.
Dalam agama juga menuntut kita mencari ilmu dan dianggap sebagai satu jihad. Rasulullah S.A.W bersabda “Barang siapa yang keluar untuk mencari ilmu atau menuntut ilmu, maka dia adalah orang yang berjihad fisabilillah sehingga ia kembali” (HR at-Tirmizi).
Oleh itu, pelajar tidak seharusnya meremehkan usaha para ilmuwan yang berjuang bersungguh-sungguh dalam menuntut ilmu. Kita seharusnya mengambil contoh daripada usaha mereka dalam memperbaiki diri sendiri. Ini kerana ilmu amatlah penting dalam kehidupan dan ia merupakan salah satu jihad yang paling agung.
Harapan sebagai seorang pendidik, janganlah ada perasaan rendah diri dan teruskan usaha dalam mencari ilmu. Rebutlah peluang yang ada untuk menimba lebih banyak ilmu pengetahuan yang mampu membawa kita lebih ke hadapan berbanding orang lain. Semoga Malaysia dapat melahirkan generasi yang berilmu untuk memimpin negara pada masa akan datang.
Dr. Rabatul Aduni Sulaiman
Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)