BATU PAHAT – Institut Ahli Sunnah Wal Jamaah (iSWAJ) bersama rakan strategik UTHM Education and Training (UET) dan Al-Hambra Venture Sdn. Bhd. telah menubuhkan Skuad Halal UTHM yang terdiri daripada pelajar Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM).

Rentetan itu, satu program ‘Pemantapan Skuad Halal UTHM’ telah diadakan bertempat di Pusat Minda Emas (PuMAS), Tanjung Labuh pada 16 hingga 18 Julai 2022. 

Program ini diadakan bertujuan untuk memantapkan ilmu pengetahuan dan kemahiran halal kepada para peserta program untuk dijadikan sebagai satu pasukan Skuad Halal di bawah iSWAJ UTHM dan duta kepada industri halal serta komuniti setempat.  

Menurut pengarah program, Dr. Muhammad Suhaimi Datuk Haji Sulong Skuad Halal UTHM ini bakal dijadikan satu kumpulan mentor yang akan membantu para pengusaha, peniaga dan usahawan dari industri mikro dan kecil dalam memperolehi pensijilan halal Malaysia dari pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Tambah beliau, beberapa kumpulan dari Skuad Halal ini akan dijadikan sebagai Pasukan Sertu dan Pasukan Penyembelihan bagi menyediakan perkhidmatan yang diperlukan dan dikehendaki oleh pihak industri halal. 

“Sebagai permulaan, program seumpama ini merupakan satu-satunya program pertama di Malaysia dengan disertai oleh 30 peserta dalam kalangan pelajar jurusan Ijazah Sarjana Muda Teknologi (Perkhidmatan Makanan) dengan Kepujian dari Fakulti Pendidikan Teknikal dan Vokasional (FPTV) dan juga Ijazah Sarjana Muda Sains (Teknologi Makanan) dengan Kepujian dari Fakulti Sains Gunaan Dan Teknologi (FAST), UTHM. 

“Jurulatih dan penceramah bagi program ini merupakan jurulatih yang bertauliah JAKIM yang dijemput khas dari International Institute for Halal Research and Training,  International Islamic University Malaysia (IIUM),” katanya.

Tambah beliau, hasil maklum balas peserta, program ini dapat mengubah perspektif halal serta dapat memperjelaskan lagi kepentingan halal dalam dunia industri khususnya dalam industri makanan dan minuman (F&B).

“Pelaksanaan halal ini juga diharapkan dapat dimanfaatkan oleh pihak industri,” katanya.

Aktiviti praktikal cara penyembelihan ayam yang betul juga mendapat sambutan yang amat baik daripada para peserta.

Namun begitu, para peserta amat mengharapkan program seperti ini dapat diteruskan dan dikembangkan lagi pada masa akan datang.

Di samping itu, kursus ini juga dapat membuka minda para pelajar serta dapat melihat bagaimana paradigma tauhid itu dilaksanakan dalam kehidupan seharian berasaskan kepada sunnah wal jamaah dengan menyokong dan memenuhi visi dan misi UTHM.  

Pada masa ini, pihak iSWAJ sedang menunggu keputusan penilaian Penyedia Latihan halal (PLH) yang berdaftar dengan Halal Professional Board (HPB) daripada pihak JAKIM.