Bagi memperkasakan lagi pendidikan negara melalui aktiviti pengantarabangsaan, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah menjalin kerjasama dengan dua universiti di Turki melibatkan Istanbul Medipol University (IMU) dan Ankara Medipol University (AMU) khususnya dalam bidang akademik dan penyelidikan.
Bagi merealisasikan kerjasama tersebut, satu majlis menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) telah diadakan pada 7 Julai 2022 bertempat Presidential Palace, Presidential Complex, Ankara.
MoU itu dibuat ketika berlangsungnya lawatan rasmi Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob ke Turkiye pada 5 hingga 8 Julai 2022.
UTHM diwakili Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Profesor Ts. Dr. Azme Khamis manakala Ankara Medipol University diwakili Rektornya, Profesor Dr. Ahmet Zeki ?engil, yang turut mewakili Istanbul Medipol University.
Sesi menandatangani perjanjian disaksikan oleh Perdana Menteri dan Presiden Republik Turkiye, Recep Tayyip Erdogan.
UTHM akan bekerjasama dengan IMU dan AMU melibatkan aktiviti seperti penyelidikan dalam bidang saintifik dan teknologi; mobiliti staf akademik, staf pentadbiran dan pelajar; perbincangan, simposium dan ceramah saintifik dan teknologi; perkongsian/pertukaran penemuan akademik, penerbitan dan informasi pendidikan, peluang staf AMU menyambung pengajian peringkat PhD di UTHM dan lain-lain kerjasama yang akan dipersetujui kedua-dua pihak.
UTHM berharap jalinan kerjasama antarabangsa seumpama ini dapat merancakkan lagi pelaksanaan pelbagai aktiviti akademik, penyelidikan dan inovasi serta penerbitan di universiti ini sekali gus menyumbang kepada pembangunan sistem pendidikan negara.