Oleh Ts. Dr. Khalid Isa
Enam pelajar Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah terpilih untuk menyertai Misi Sukarelawan Siswa YSS-ASEAN GREEN SUMMER VOLUNTEER CAMPAIGN (GSVC) VIETNAM 2022 yang akan bermula pada 7 Julai hingga 11 Ogos 2022.
Sebagai tanda sokongan pihak universiti, satu sesi pertemuan dan pelepasan enam pelajar ke misi ini telah diadakan pada 5 Julai lalu yang disempurnakan oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Sr. Ts. Dr. Lokman Hakim Ismail.
Enam pelajar tersebut adalah Syafawati Samion dari Fakulti Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (FKEE), Sasvieni A/P Ganasen dari Fakulti Sains Gunaan dan Teknologi (FAST), Muhammad Sulthan Suwonda dari Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan (FPTP), Chang Lee Na dari Fakulti Kejuruteraan Awam dan Alam Bina (FKAAB), Muhammad Alliman Abdul Nasir dan Mohamad Khairul Ikmal Yahaya dari Fakulti Pendidikan Teknikal dan Vokasional (FPTV).
Menurut Ketua Jabatan Nilai dan Kesukarelawanan Pelajar, Pusat Pembangunan Pelajar (PBP), Ts. Dr. Khalid Isa, pemilihan pelajar ini telah dibuat oleh pihak Yayasan Sukarelawan Siswa (YSS), Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia (KPT) melalui proses temuduga yang dilakukan oleh Ahli Lembaga Pemegang Amanah/Pengarah YSS yang telah dilaksanakan pada 5 Jun 2022 lalu.
“Calon yang dipilih adalah mereka yang mempunyai ciri-ciri kepimpinan dan yang mempunyai semangat sukarelawan yang tinggi serta aktif dalam aktiviti kemasyarakatan,” katanya.
Misi Sukarelawan Siswa yang akan dilaksanakan di Ho Chi Minh, Vietnam ini bermatlamat untuk melahirkan pemimpin sukarelawan siswa di pentas global.
Misi tersebut dilaksanakan menerusi konsep “immersion” yang mana sukarelawan siswa akan tinggal bersama komuniti tempatan dan melaksanakan kerja sukarelawan mengikut bidang pengajian masing-masing yang berteraskan “right volunteers for the right job.”