Oleh Dr. Nur Zainatul Nadra Zainol dan Dr. Muhammad Suhaimi Sulong
BATU PAHAT – Bagi mengajak golongan muda menggunakan media sosial secara bijak, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) dengan kerjasama Institut Ahli Sunnah Wal Jamaah, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah menganjurkan Program Bicara Ad-Din: Media Sosial, Generasi Muda dan Kerangka Tauhid Ahli Sunnah Wal Jamaah: Isu dan Cabaran Abad Ke-21 pada 18 Julai 2022 lalu bertempat di Dewan Sultan Ibrahim, kampus induk.
Media sosial secara umumnya bukan hanya digemari golongan muda, malah generasi berusia juga memiliki akaun pelbagai aplikasi dalam telefon mereka.
“Media sosial mempunyai banyak sisi baik berbanding buruk jika kita menggunakannya dengan betul.
“Namun jika kita sendiri menyalah guna, ia boleh mendatangkan keburukan dan sampai satu tahap boleh merosakkan akidah umat Islam,” kata Sabihus Samahah Dato’ Ahmad Faisal Mohamad selaku panel Program Bicara Ad-Din.
Turut serta sebagai panel, Pegawai Psikologi Pusat kaunseling UTHM, Dr. Aspalaila Abdullah dan Pegawai Penyelidik IKIM, Dr. Muhammad Husni Mohd Amin.
Program ini diadakan sempena berlangsungnya Majlis Menandatangai Perjanjian Persefahaman (MoU) antara IKIM dan UTHM.
Dr. Aspalaila dalam perkongsiannya mengingatkan belia khususnya remaja supaya bersikap rasional ketika menggunakan media sosial bagi menghindari sikap ‘koyak’ sekiranya apa yang dikongsikan dalam media sosial mendapat kecaman netizen.
Tambah beliau golongan ibu bapa juga perlu juga mengikuti tren media sosial terkini seperti TikTok dalam mendidik anak-anak seperti saranan Saidina Ali RA: ‘dalam mendidik anak, perlulah sesuai dengan zamannya.’
Menurut Dr. Muhammad Husni pula, Islam merupakan agama yang menyarankan kepada perkara manfaat dan menghalang perkara mudarat.
Justeru itu, remaja perlu mengaplikasi kaedah ini khususnya ketika menggunakan media sosial.
Ini kerana media sosial mampu memberi manfaat kepada pengguna contohnya seperti boleh menjadi platform untuk menjana sumber pendapatan, menyerlahkan bakat, berkongsi maklumat, tip atau kata-kata motivasi.
Program yang dihadiri staf, pelajar UTHM serta pelajar sekolah agama sekitar daerah Batu Pahat dan Pontian itu turut dirakam dan disiarkan di radio IKIMfm pada 20 Julai lalu.
Penganjuran program IKIM dengan kerjasama UTHM ini bukan sahaja mampu menjadi platform penyebaran ilmu di peringkat global, malah turut bertepatan dengan nilai paradigma tauhid bagi melahirkan mahasiswa berkeperibadian unggul.