Hari ini, Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional atau ringkasnya TVET masih berdepan dengan pelbagai cabaran, tidak terkecuali jenamanya. Isu jenama TVET nampaknya bukan sahaja di Malaysia malah dilaporkan juga berlaku di negara yang telah lama mengamalkan sistem pendidikan dual dan perantisan. TVET dilihat sebagai pendidikan pilihan kelas kedua untuk mereka yang rendah kognitifnya serta dibayangi potensi masa depan yang kelam. Begitulah sulitnya untuk memperbetul tanggapan serong yang telah lama bersarang dalam benak masyarakat secara umumnya.
Minggu TVET Negara yang bakal berlangsung antara 18 hingga 22 Jun 2022 merupakan komitmen berterusan ke arah memudarkan persepsi mundur terhadap TVET. Ini juga adalah selari dengan desakan Revolusi Industri 4.0 yang memerlukan pemikiran semula terhadap kandungan, penyampaian serta penjenamaan TVET. Forum Ekonomi Dunia (WEF) menyebut bahawa TVET berkualiti merupakan kunci ke arah memacu pertumbuhan ekonomi sesebuah negara. Ini kerana TVET berperanan melatih modal insan teknikal dan berkemahiran bagi mendepani cabaran kelestarian dunia termasuklah dalam bidang pembinaan, penjagaan kesihatan, pengangkutan dan pembuatan termaju.
Memperkukuh kepentingan TVET, Badan Koordinasi TVET Kerajaan-Industri (GITC) ditubuhkan dengan dianggotai 12 persatuan sektor industri bagi membentuk kerjasama dengan 11 kementerian yang diselaraskan oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT). Apa yang jelas, sudah tiba masanya, budaya beraksi secara solo dipadamkan dan tindakan menyambung semua titik berkaitan TVET digerakkan dengan penuh muafakat. Sinergi ini amat penting dalam konteks kolaborasi strategik kepakaran, peralatan dan teknologi antara pusat kecemerlangan dengan institusi TVET bersama pihak berkuasa wilayah ekonomi dan industri. Simbiosis ekosistem TVET ini juga diyakini berupaya mengecilkan jurang permintaan dan penawaran pekerjaan, serta pastinya akan berupaya memperkukuh jenama TVET yang lebih berdaya saing sebagai pilihan generasi muda serta ibu bapa.
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) memiliki sejarah terdahulu yang panjang. Bermula sebagai Pusat Latihan Staf Politeknik (PLSP), Institut Teknologi Tun Hussein Onn (ITTHO), Kolej Universiti Teknologi Tun Hussein Onn (KUiTTHO) dan kemudiannya diangkat sebagai sebuah universiti dalam rangkaian universiti teknikal malaysia (MTUN). Dengan aspirasi sebagai IPTA Model 2 seperti yang dicatatkan menerusi memorandum jemaah menteri pada April 2000, MTUN berperanan sebagai teras kepada sistem universiti teknikal negara dan seterusnya melengkapkan aliran pendidikan teknikal Malaysia.
Menggalas cabaran besar sebagai pelengkap kepada sistem pendidikan sedia ada tidak mudah. Walaupun masa bergerak pantas seiring mencapahnya teknologi terkini, namun persepsi sebagai pilihan kedua, yang secara langsung turut menghukum bersama TVET memerlukan MTUN terus berjuang tanpa kenal erti putus asa untuk mengangkasa kecemerlangan TVET demi menyediakan taraf hidup yang wajar kepada semua rakyat Malaysia. Lantas, siri penambahbaikan kualiti berterusan (CQI) tidak boleh bertemu noktah, terus bugar digerakkan agar amanah besar negara ini dapat dilunaskan sebaiknya.
Justeru, UTHM sebagai anggota MTUN menerusi pengemaskinian hala tujunya beriltizam untuk melahirkan sumber tenaga kompeten bertaraf global, bakat profesional dan bakal teknousahawan, selari dengan hasrat menjadikan UTHM sebagai Global Technopreneur University 2030 (GTU 2030). Menerusi Pelan Strategik UTHM 2021 – 2025, penjajaran semula dilakukan selari dengan kontrak sosial baharu dalam pendidikan yang mahukan universiti bukan sekadar melahirkan modal insan untuk pasaran kerja, malah berperanan sebagai pengubah permainan demi kelestarian sejagat. Gelanggang permainan hari ini sangat berbeza, kepesatan dan pengaruh teknologi malah terkini cabaran kesihatan awam dunia misalnya dengan serangan Covid-19 tidak membolehkan bisnes berjalan secara biasa. Cara belajar, bekerja dan kehidupan semakin bergejolak, tidak pasti, kompleks dan kabur (VUCA). Justeru, untuk terus berpeluk tubuh bukan lagi pilihan, perubahan adalah suatu kemestian.
UTHM komited untuk memacu transformasi TVET menuju universiti teknousahawan global untuk pembangunan sejagat. Menerusi falsafah pendidikan dan latihan yang bertunjangkan paradigma tauhid, ke arah melahirkan graduan kompeten, profesional dan berdaya keusahawanan dipacu teknologi termaju, seluruh warga kampus mesti memikul kebersamaan mutlak. Bersepakat untuk memacu pengalaman kampus yang berimpak tinggi, bukan sahaja untuk pelajar malah juga warga kerjanya. Jika pelajar menikmati pengalaman kampus yang berkualiti, begitulah juga warga kerjanya, dipimpin dengan oleh kepimpinan prihatin dengan suasana kerja yang penuh harmoni.
Hasrat memacu transformasi TVET menuju universiti teknousahawan global bukan sekadar laungan dalam majlis amanat tahunan. Lebih malang, hanya indah di atas kertas usai acara pelancaran. Perubahan akan kekal sebagai angan-angan tanpa kesepaduan antara pasukan kepimpinan yang berintegriti, empati, berdedikasi, berfikir ke hadapan, memanfaatkan teknologi bersama kepengikutan yang mantap dengan berbudaya kerja berprestasi tinggi.
Transformasi TVET menuju universiti teknousahawan global melalui pengalaman kampus yang menyeluruh dan bersifat kalis masa hadapan digerakkan menerusi strategi-strategi:
- pengukuhan kemajuan organisasi secara lestari menerusi empat teras iaitu pendidikan dan latihan, teknousahawan, prihatin dan governan;
- percambahan nilai teras organisasi iaitu amanah, profesional dan integriti secara menyeluruh di semua peringkat dan kumpulan;
- penggabungan model kolaborasi pendidikan dan latihan bersama pembangunan pelajar yang holistik merentasi kurikulum, penyelidikan dan pembangunan, inovasi serta kelestarian;
- pemerkasaan pengalaman pembelajaran pelajar melalui integrasi enam domain iaitu pengetahuan dan kemahiran, pembelajaran berasaskan masalah, kajian kes, simulasi dan pembelajaran menerusi pengalaman, kreativiti dan inovasi, serta latihan profesional;
- pembinaan modal insan yang penuh dengan akal budi serta kukuh jati diri mencakupi pembinaan kapasiti (kesejahteraan diri), pembentukan peribadi (bertunjangkan paradigma tauhid dan nilai murni) dan pengisian keupayaan (sebagai pilihan industri dan masyarakat); dan
- perincian keberhasilan graduan menerusi nilai G R I T T (global, resilience, innovative, trustworthy, talent) yang bermatlamatkan untuk melahirkan graduan yang berpemikiran global, memiliki kecekalan dan daya tahan yang tinggi, menjunjung tinggi nilai integriti, mahir menyelesaikan masalah secara inovatif serta berkeyakinan dengan bijak menghargai bakat diri.
Menjadi harapan agar hasrat murni UTHM untuk memacu transformasi TVET menuju universiti teknousahawan global bukan sekadar slogan jaguh kampung, bermusim atau bersifat populis. Hala tuju yang selari dengan Dasar Keusahawanan Nasional (DKN) ini mesti direalisasi, sekaligus membawa keazaman Malaysia sebagai paksi ekonomi Asia menjelang tahun 2030. Sudah tentu, Malaysia yang diimpikan adalah sebuah negara yang bersatu, makmur dan bermaruah serta terus membangun secara mapan dengan pengagihan ekonomi yang lebih adil dan inklusif.
Akhirnya, benarlah perjalanan yang panjang bermula dengan langkah yang pertama. Jika ingin bergerak pantas, bergeraklah sendirian, tetapi jika ingin membawa kemakmuran, bergeraklah secara berpasukan. Andai kita melakukan perkara yang sama berulang-ulang tanpa mencari kekurangan dan melakukan penambahbaikan, usahlah diharapkan keajaiban. Masa depan adalah tentang tindakan!
Profesor Ts. Dr. Ruzairi Abdul Rahim
Naib Canselor
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)
Profesor Madya Dr. Afandi Ahmad
Penyelidik Pelawat Program Sabatikal Tajaan UTHM
Aalborg-UNESCO Centre for Problem Based Learning
in Engineering Science & Sustainability
Aalborg University, Denmark