Oleh Hafizah Muhammad Elham
BATU PAHAT,11 Jun 2022 – Pelajar Kursus Kokurikulum Berkredit RELASIS II Seksyen 1, Pusat Pengajian Umum dan Kokurikulum, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah menganjurkan satu program University Community Engagement (UCE) yang diberi nama “Puncak Kepimpinan” RELASIS UTHM pada 10 dan 11 Jun lalu.
Program dengan kerjasama Alumni Politeknik Malaysia melibatkan 11 pelajar UTHM dan 50 peserta sasaran yang merupakan alumni Politeknik Malaysia.
Program yang dilaksanakan secara dalam talian ini bertujuan untuk berkongsi kemahiran komunikasi dan pendedahan ciri-ciri kepimpinan kepada individu untuk diterapkan dalam kehidupan seharian atau organisasi.
Antara aktiviti yang dijalankan adalah Webinar Komunikasi dan Kepimpinan Paradigma Tauhid yang disampaikan oleh Profesor Dr. Jima’ain Safar, selaku Profesor Akademi Tamadun Islam Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai.
Selain itu terdapat beberapa sesi perkongsian yang disampaikan oleh Pelatih Briged RELA Siswa Siswi (RELASIS) UTHM.
Program yang mendapat maklum balas positif daripada peserta, buktinya 96 peratus daripada peserta yang terlibat didapati dapat memahami dan mengaplikasikan kemahiran yang dikongsikan bersama.
Pembukaan program ini telah dirasmikan oleh Penolong Pesuruhjaya RELA (Bersekutu) Ts. Mohd Hatta Hj Mohamed Ali @ Md Hani, selaku Timbalan Komander (Latihan) RELASIS UTHM.
Beliau dalam ucapan perasmian berkata mahasiswa merupakan pelapis kepimpinan negara, makanya mereka harus memainkan peranan penting dalam menyuntik semangat kepimpinan dalam sanubari generasi muda.
Manakala perasmian penutup pula disempurnakan oleh Penolong Pesuruhjaya RELA (PPjR) Mohd Nazri Mohd Noor, selaku Pegawai RELA Daerah Batu Pahat.
Beliau dalam ucapannya juga turut menegaskan untuk menjadi seorang pemimpin, mereka haruslah berani dan berkarisma tinggi agar organisasi yang dipegang dapat menjalankan operasi dan peranannya dengan cemerlang.