Isu buli dan gangguan seksual dialami doktor pelatih atau warga institusi pendidikan yang membawa kepada penubuhan pasukan dan jawatankuasa khas menimbulkan persoalan sejauh manakah hal sama berlaku di entiti kerajaan lain?

Apakah budaya toksik itu hanya berlaku dalam sektor awam dan di manakah silapnya hingga ia umpama kudis lama tidak dirawat? Apakah diagnosis mengenal pasti punca sebenar tidak dibuat atau sudah lama sebati dengan kita?

Realitinya, gejala toksik seperti membuli berlaku di pelbagai peringkat kerana integriti ditalkinkan hingga pembuli berasa berkuasa dan kebal, manakala mangsa terpaksa menahan ketakutan disebabkan kuasa perakuan, kelulusan dan kenaikan pangkat.

Malah, sekiranya insiden itu diangkat kepada pihak berautoriti, ada tidak mahu memanjangkan kes dan memberikan reaksi seperti ‘hati jangan tisu sangat’ atau ‘biasalah kerja, telinga kena tebal.’ Akhirnya, pengadu hilang arah hingga trauma berpanjangan dan kesihatan terjejas, sedangkan pelaku merasakan gaya pengurusannya betul.

Wajib difahami, kepemimpinan dan kepengikutan yang betul perlu wujud dalam organisasi. Hakikatnya, organisasi adalah manusia memiliki hati dan perlu dihormati, bukan mesin dipergunakan sesuka hati. Dalam hal ini, sifat empati perlu menjadi DNA organisasi.

Empati ialah daya menyelami dan memahami emosi orang lain. Ia bermula dengan perasaan kasihan menjadi simpati, kemudian empati dan akhirnya jika dipupuk membentuk keterbabitan dalam organisasi.

Profesor psikologi Universiti Stanford, Prof Jamil Zaki dalam artikelnya, Making Empathy Central to Your Company Culture dalam Harvard Business Review, menjelaskan organisasi empati cenderung membentuk ahli bekerjasama dengan kukuh, kurang tekanan dan bersemangat, sekali gus menjadikan warga kerja bingkas bangkit apabila berdepan detik sukar, mempunyai daya tahan serta kepercayaan tinggi.

Hari ini, senario bergejolak, tidak pasti, kompleks dan kabur (VUCA) mengubah cara belajar dan bekerja ketika menjalani kehidupan. Pandemik COVID-19 contohnya sebagai krisis luar jangka menyebabkan semua orang perlu bekerja dari rumah, mengurus keluarga dan persekolahan anak, tetapi terus dihimpit keterbatasan teknologi.

Dalam keadaan produktiviti perlu diutamakan, siapakah mempertimbangkan soal kebajikan, kesihatan, keselamatan dan kesejahteraan?

Empati bukan semata-mata anugerah dalam diri, sebaliknya cara berfikir, pemerhatian dan pengalaman peribadi mampu membezakan ukuran empati manusiawi.

Ini menjadikan empati boleh dipelajari dan dikembangkan. Di sekolah dan universiti, pembabitan pelajar dalam kegiatan berkumpulan seperti sukan, kesukarelawanan dan pertandingan menyebabkan mereka bukan sahaja menyemai kecekalan dan kerja keras, bahkan mengembangkan empati, iaitu memahami serta menghormati ahli pasukan, menghargai kekuatan dan bekerjasama mencari formula untuk bersama-sama mencipta kejayaan.

Universiti Aalborg (AAU) di Denmark umpamanya menekankan pembabitan aktif pelajarnya menerusi falsafah pendidikan berorientasikan masalah dan projek (PBL/PoPBL). Apabila sistem di universiti berjaya melahirkan graduan celik empati, manfaatnya pasti sampai kepada masyarakat dan organisasi.

Oleh itu, budaya toksik seperti buli dan salah guna kuasa dapat dibendung jika semua pihak terus belajar dan memperbaiki diri. The Center for Creative Leadership menggariskan beberapa syor membudayakan empati sebagai DNA organisasi.

Ini membabitkan syor untuk melatih kemahiran mendengar, menghargai kerisauan, menyebarkan fakta, mempraktikkan fleksibiliti, memperhalusi kesihatan mental, membangunkan potensi staf, membina kepercayaan semua pihak, mempamerkan kepemimpinan melalui teladan dan membudayakan pembelajaran sepanjang hayat.

Oleh

Prof Madya Dr Afandi Ahmad 

Penyelidik Pelawat Program Sabatikal

Tajaan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) Aalborg-UNESCO Aalborg University, Denmark

Berita ini juga diterbitkan dalam:

msn.com, 11 Jun 2022 : https://www.msn.com/en-my/news/berita/terap-empati-di-sekolah-hapuskan-buli-di-tempat-kerja/ar-AAYkqmx