Dengan kenaikan harga petrol RON97 untuk pasaran tempatan sejak beberapa minggu lalu, yang menjadikan perbezaan harganya dengan RON95 makin ketara, pertanyaan tentang perbezaan RON muncul kembali. Ramai yang tertanya-tanya, sebenarnya untuk kereta mereka, RON mana yang paling sesuai. Kami di pualtan.org juga sudah kerap menulis tentang ini, misalnya dalam artikel penggunaan RON95 vs RON97 ini.

Tetapi kali ini kami alihkan pula perhatian anda kepada perkongsian dan perbincangan yang berlangsung di laman Facebook Dr. Aid Fawzal, seorang jurutera tempatan yang kini bertugas di UK, yang telah menjemput pula Ir. Fadzil ZA, seorang Jurutera Analisa Prestasi Enjin yang kini menjadi pensyarah di UTHM untuk berkongsi pandangan dan pengalaman berkaitan perkara ini.

1. Apa itu RON?

RON adalah singkatan bagi Research Octane Number. Ia adalah ukuran kebolehrintangan minyak petrol terhadap “knocking”.”Knocking” pula adalah kejadian letupan tidak terkawal yang berlaku di dalam kebuk pembakaran. Dan kejadian “knocking” ini tidak memberikan kuasa yang positif malah boleh membawa kecelakaan kepada enjin.

2. Apa beza RON 95/97/100?

Sebenarnya nilai tenaga (calorific value) untuk petrol dengan RON 95 atau RON 97 atau RON 100 semua lebih kurang sama. Yang membezakannya adalah kualiti melawan sifat “knocking” (anti-knock quality). Dengan itu, tiada isu RON mana yang lagi “power”. Ini kerana kandungan tenaganya sama sahaja. Yang bagi lebihan kuasa itu adalah bagaimana enjin menggunakan kelebihan bahan bakar tersebut secara efektif.

3. Apakah kaitan antara RON dengan enjin?

Pertama sekali, RON berkadar langsung dengan nisbah mampatan (compression ratio) dan bukannya saiz atau kapasiti enjin (cc, cubic centimetres atau L, liter).

Zaman dahulu, penggunaan RON95/RON97 memang berkait rapat dengan nisbah mampatan enjin.

  • Nisbah mampatan rendah = guna RON 95
  • Nisbah mampatan tinggi = guna RON 97/100

Namun kini lain. Disebabkan perkembangan teknologi yang semakin kompleks dan canggih, enjin kereta sudah mampu ubah talaan mengikut RON yang digunakan. Dengan itu, nilai RON sudah kurang perkaitannya dengan nisbah mampatan. Apa pun, peraturan umum RON dengan nisbah mampatan ini harus diamati kerana enjin-enjin dengan teknologi lama/rendah masih kuat kebergantungannya. Manakala untuk enjin moden, tidak lagi. Contohnya enjin Mazda Sky-Activ G. Enjinnya aspirasi natural dengan nisbah mampatan setinggi 14:1. Secara am, ia sepatutnya menggunakan RON100, tetapi tidak. Dengan kecanggihan reka bentuk kebuk pembakaran dan talaan, ia hanya perlukan RON95 tanpa sebarang masalah.

4. Kenapa enjin moden kurang sensitif dengan RON?

Sebab utama enjin moden tidak lagi sensitif dengan RON adalah kerana kemajuan Engine Control Unit (ECU). ECE moden membenarkan enjin beroperasi dalam julat (range) RON yang berbeza. Contohnya bermula daripada RON85 sehingga RON100. ECU moden dapat mengadaptasi nilai semburan bahan api dan “ignition” berdasarkan kualiti pembakaran bagi mengelakkan “knocking” berlaku.

 

5. RON yang tinggi sesuai untuk enjin apa?

RON yang tinggi lebih sesuai untuk digunakan bagi enjin yang menggunakan induksi paksaan (forced induction) seperti supercharger (SC) atau turbocharger (TC). Ini kerana enjin yang ada SC/TC lebih terdedah kepada “knocking” disebabkan angin yang masuk bertekanan dan bersuhu tinggi. RON yang tinggi lebih sesuai kerana ia dapat mengurangkan atau mengelakkan berlakunya “knocking” yang akan menyebabkan kemerosotan prestasi dan juga bagi mengelakkan kerosakan komponen enjin.

6. Jadi, adakah semua enjin SC/TC perlu guna RON tinggi?

Tidak, sebab ECU moden mempunyai talaan untuk beroperasi dalam julat RON yang berbeza. Contohnya julat di antara RON 87 ke RON 100. Pun begitu, kadar prestasi optimum dan penggunaan bahan api yang terbaik akan terhasil pada tahap RON yang disarankan dalam buku manual/buku spesifikasi kereta anda.

7. Apa kesan guna RON luar daripada julat (range) yang dibenarkan?

Katakanlah sebuah enjin itu ditala untuk gunakan julat RON 87 ke RON 100. Jika kita gunakan RON80, ECU akan hanya mampu gunakan “mapping” untuk RON87 sahaja. Dengan itu, kemungkinan untuk enjin anda “knocking” teruk boleh berlaku kerana ECU tidak dapat mengawal sebaiknya. Begitu juga jika anda gunakan minyak perlumbaan seperti RON 110 ke dalam enjin standard kereta anda. ECU hanya akan gunakan talaan yang sesuai untuk RON100. Maka, tiada kelebihan yang akan diperoleh jika kita gunakannya.

8. Sesuai ke RON97/RON100 untuk kereta cc rendah?

Seperti yang dijelaskan sebelumnya, pemilihan nak guna RON yang mana bukanlah bergantung kepada saiz enjin atau cc. Tetapi itu sebaliknya berdasarkan reka bentuk enjin dengan landasan nisbah mampatan. Jika mampu, silakan.

9. Mana satu lebih jimat? RON rendah atau RON tinggi?

Hal ini perlu merujuk kepada unit ukuran. Kebanyakannya bila kita buat kiraan penjimatan hanya agak-agak atau hanya lihat berapa jarak perjalanan. Boleh lihat tulisan Dr. Aid sebelum ini yang menisbahkan jarak perjalanan dengan harga isian petrol untuk dapatkan kepastian adakah kereta anda jimat bila gunakan RON yang berbeza.

10. Kesimpulan

Gunalah RON yang sesuai dengan enjin kenderaan anda mengikut spesifikasi yang ditetapkan. Namun, jika anda mahu guna RON yang berbeza, ini tidak akan merosakkan enjin anda secara langsung.

Kuncinnya adalah:

  • Enjin yang direka untuk menggunakan RON rendah, boleh berfungsi dengan baik apabila gunakan RON tinggi.
  • Tetapi enjin yang direka untuk gunakan RON tinggi, TIDAK boleh berfungsi dengan baik dengan RON rendah.

Tepuk dada, tanya selera, pilihan di tangan anda

Sumber : https://paultan.org/2022/06/01/ron95-vs-ron97-penjelasan-daripada-jurutera-enjin/

 

Berita ini juga diterbitkan dalam :

1. thevocket.com, 2 Jun 2022 : https://www.thevocket.com/jurutera-jelaskan-jenis-ron-petrol-yang-boleh-dipakai-ikut-kesesuaian-model-kereta/

2. odisi.my, 2Jun 2022 : https://odisi.my/2022/06/34177/

3. paultan.org, 3 Jun 2021 : https://paultan.org/cn/2022/06/03/ron95-vs-ron97-penjelasan-daripada-jurutera-enjin/