BATU PAHAT – Walaupun negara masih berada di fasa peralihan ke endemik, Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat (FSKTM), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) tetap meneruskan penganjuran The 5th International Conference on Soft Computing and Data Mining (SCDM 2022) buat kali ke-5 secara dalam talian.
Persidangan ini berlangsung pada 30 hingga 31 Mei 2022 ini berjaya menarik perhatian peserta dari dalam dan luar negara antaranya Indonesia, Algeria, Australia, Bangladesh, Palestine, Pakistan, Spain dan Nigeria.
Tiga Pengucaptama dari UTHM, University of Derby dan Synapse Innovation Sdn. Bhd. telah dijemput bagi menjayakan persidangan tersebut.
Semua kertas kerja yang dihantar oleh peserta telah disemak dan disaring dengan teliti oleh pakar daripada jawatankuasa program. Hasil daripada proses saringan tersebut, sebanyak 39 daripada 61 kertas kerja telah melepasi kualiti dan merit yang ditetapkan untuk diterima dalam pembentangan lisan dan diterbitkan dalam prosiding SCDM 2022.
Naib Canselor UTHM, Profesor. Ts. Dr. Ruzairi bin Abdul Rahim hadir menyempurnakan majlis perasmian yang diadakan pada 30 Mei lalu.
Beliau dalam ucapannya berharap penganjuran persidangan ini dapat memberi sumbangan besar ke arah meningkatkan kesedaran tentang kepentingan pengkomputeran lembut dan penyelidikan perlombongan data.
“Semoga persidangan seumpama ini dapat mewujudkan kesedaran sekali gus mendidik masyarakat kita tentang kepentingan penyelidikan analisis data.
“Moga selepas ini masyarakat akan bersikap lebih agresif dalam menggunakan data bagi pelaksanaan aktiviti ekonomi dan pembangunan perniagaan,” katanya.
Persidangan SCDM 2022 adalah satu platform yang penting bagi menghimpunkan perbincangan serta kerjasama antara para penyelidik dan pengamal industri bagi memulakan projek, sama ada berbentuk domestik atau antarabangsa.
Persidangan SCDM2022 telah berjaya dilaksanakan melalui beberapa sesi selari yang memberi peluang kepada peserta untuk membentangkan hasil kerja mereka bagi mendapatkan maklum balas dan berkongsi idea dengan para peserta lain bagi meningkatkan lagi kualiti kertas kerja mereka.
FSKTM berharap perkongsian idea, pengalaman dan kepakaran ini mampu memberi manfaat yang luar biasa kepada semua peserta yang hadir.