Astro Awani.com, diterbitkan pada 13 Mei 2022 12:25 MYT

Bertemukah kita akan titik perubahan untuk memahami, bahawa usaha berterusan ke arah memperkembangkan potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu, demi kelestarian generasi akan datang, memerlukan batang tubuh insan berjiwa besar bergelar guru.

  1. Setiap tahun, tanggal 16 Mei pasti diingati. Beberapa tahun terkini, dengan penuh cabaran berbeza, guru tetap teguh memikul amanah dengan kebiasaan baharu. Jika berita kejayaan pelajar yang didendang, ada kalanya jarang sekali guru yang dipandang. Tetapi, jika ada yang pincang, akan wujud persoalan, “cikgu kat sekolah ajar apa?”, “masa COVID-19, cikgu bukan pun datang sekolah”. Inilah resam dunia, sisi gelap masyarakat tetap wujud di mana-mana. Namun sedari atau tidak yang terus setia demi anak bangsa, itulah guru. Moga budi dan baktinya hingga ke syurga.
  2. Hari Guru tahun ini membawa tema, “Guru Tunjang Sekolah SEJAHTERA”. Akronim SEJAHTERA bersama 14 elemen yang terkandung dalam konsep “Sekolahku SEJAHTERA”, iaitu Selamat, Seronok, Sihat, Etika, Empati, Jati diri, Adab Sopan, Harmoni, Tekun, Teliti, Terampil, Eksplorasi, Rasional dan Artikulasi, bukanlah hanya sekadar akronim. Akan tetapi, berat tergalas di bahu guru untuk merealisasikannya, lebih-lebih lagi dalam kerumitan dunia pendidikan hari ini.
  3. Konsep “Sekolahku SEJAHTERA” yang terdahulunya telah dilancarkan, jelas meletakkan iltizam untuk melahirkan generasi muda yang hebat serta mampu bersaing di peringkat dunia. Matlamat ini bukan biasa-biasa, malah tidak boleh hanya sekadar slogan, seperti sedang berkempen untuk pilihanraya semata-mata. Pendidikan hari ini adalah taruhan untuk kelestarian dunia yang perjalanannya, panjang bukan sedepa.
  4. Jika situasi hari ini menjadi ukuran, dengan 1,001 ketidakpastian dan melengkapkan ancaman VUCA (Volatility, Uncertainty, Complexity, Ambiguity) yang dimomokkan, benarlah gaya kita hidup dan bekerja telah berubah. Dahulu, belajar hanya di dalam kelas dengan guru di depan. Siapa menyangka, semua kini tidak asing dengan beberapa nama “kawan baru”, Microsoft Team, Google Meet dan Zoom. Bukanpun berniat menjana pendapatan menerusi Youtube, guru dengan rasa malu-malu tetapi gigih merakam video dan memuat naik di saluran sendiri, tidak kurang juga yang hebat dengan memiliki studio dan skrin hijau sendiri. Persis artis ternama tanah air merakam album lagu dan video muzik untuk peminat!
  5. Menyoroti senarai tema Hari Guru seawal tahun 1972 hingga tahun 2021, tema pada tahun 1974, “Peranan Guru Dalam Zaman Sains dan Teknologi” elok untuk diperhalusi, selari dengan cabaran hari ini. Walaupun sebelum ini gagasan pembelajaran abad ke 21 (PAK21) giat diusahakan sejak tahun 2014 bersama penerokaan kelebihan teknologi demi manfaat dalam pendidikan, namun apabila COVID-19 datang menguji sekitar enam (6) tahun selepas itu, banyak juga perkara yang memerlukan penambahbaikan kualiti berterusan (CQI) serta kejujuran yang malar segar.
  6. Menerusi kontrak sosial baharu dalam pendidikan seperti yang digariskan menerusi Agenda Davos 2022, terdapat empat (4) perkara yang diperlukan dalam menjayakan agenda pendidikan masa-hadapan. Memanfaatkan teknologi, mengoptimumkan interaksi, mewujudkan kandungan yang bersifat penyesuaian peribadi, dan memaksimumkan keterlibatan. Namun, benarkah dengan kepesatan teknologi yang menggila, seperti kepintaran buatan, realiti maya, analitik data raya, pembelajaran mesin, internet pelbagai benda, percetakan tiga (3) dimensi, dan robot pintar, peranan guru bakal terhakis? Guru menjadi semakin tidak relevan? Guru menjadi semakin ‘rehat’ dan kurang tugasnya?
  7. Benar, teknologi perlu dimanfaatkan agar kita tidak tercicir dengan persaingan yang kian tidak tertakrif. Namun, di penjuru yang pasti, peranan guru yang sangat besar ertinya, usah diremehkan. Wan Ali Akbar, Khadijah dan Mohd Isa (2021) menerusi artikelnya “Model Guru Pendidikan Islam Komprehensif” dalam ASEAN Comparative Education Research Journal on Islam and Civilization, menggariskan konsep 11 mim, bagi menjelaskan peranan seorang guru, yang bukan sahaja sesuai dijadikan tanda aras untuk pendidikan Islam, malah keseluruhan konteks pendidikan juga. Konsep tersebut merujuk peranan seorang guru sebagai Murabbi, Muaddib, Muallim, Murshid, Mudarris, Mudarrib, Muwajjih, Muslih, Mukhlis, Muzakki dan Mubdi’. Semuanya ini menjelaskan betapa unggulnya tugas seorang guru merentasi batas peredaran zaman, sempadan geografi, kemajuan ekonomi, kepelbagaian budaya, malah juga kecanggihan teknologi. Hal ini juga selari dengan asas utuh yang digariskan menerusi Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) yang digubal hasil pemikiran yang rasional dan kritis, berlandaskan ideologi negara sebagaimana yang telah dimanifestasikan menerusi Laporan dan Dasar Pendidikan, termasuk juga Rukun Negara.
  8. Ke arah menjayakan pendidikan masa hadapan, walaupun aspek teknologi, interaksi, personalisasi dan inklusiviti menjadi kerangka perkembangannya, perlu difahami bahawa yang memimpin proses pembelajaran dan pengajaran (PdP) adalah guru. Walaupun disebut guru memimpin proses PdP, ini tidaklah menafikan konsep pembelajaran berpusatkan pelajar (SCL). Menerusi daya kepimpinan guru yang hebatlah, sesi PdP dapat diberikan hak upayanya kepada pelajar. Guru pula akan memainkan peranan sebagai pemudah cara bagi merencana agenda PdP berimpak tinggi, dan seterusnya menjadikan sekolah adalah tempat yang sangat dekat di hati pelajar.
  9. Walaupun hari ini pelbagai isu yang kurang enak berkaitan kebajikan guru berlegar-legar, hingga terlintas di fikiran, sampai bilakah kekusutan ini dapat dileraikan, fokus terhadap tugas hakiki guru mesti dikembalikan. Analoginya mudah, mana mungkin kita dapat melahirkan pelari pecut 100 meter yang terhebat di dunia, jika jurulatihnya pun tidak bermotivasi, bermasalah dan tiada hala tuju. Tentu keazaman ini menyukarkan. Justeru, jika benar kita serius ingin melahirkan pelajar yang benar-benar menjadi, kesejahteraan guru mesti turut diangkat. Guru mesti diberikan seluasnya ruang berkreativiti, diberikan sokongan dalam segenap segi (fizikal, mental, logistik dan sebagainya), diperkasa, malah diiktiraf peranannya.
  10. Teknologi hanyalah perkakasan dan perisian yang tiada jiwa, hanya bersifat pelengkap atau pemecut prestasi. Iltizam dan kepimpinan itu datangnya dari jiwa murni seorang guru yang ingin melihatkan anak didiknya lebih berjaya menguasai dunia. Mana mungkin, teknologi dapat diteroka dan dimanfaatkan dengan sempurna andai guru keletihan akibat tuntutan indeks pengukur prestasi (KPI) yang hanya cantik di atas kertas, atau dibebani dengan tugasan pengkeranian yang rencam, malah lebih malang jika lagi dan lagi hanya seolah-olah menyudahkan jahitan ropol, demi pujian, dan tepukan gemuruh untuk lawatan pihak atasan. Andai “Sekolahku SEJAHTERA” itu benar suatu impian bersama seluruh Keluarga Malaysia, insafilah bahawa tugas seorang guru jauh lebih mega daripada itu.
  11. Teknologi bersifat dinamik dan akan terus berkembang lagi dan lagi. Hingga ada masanya begitu laju meninggalkan kita. Sebab itulah juga, guru bukanlah bandingannya dengan teknologi. Guru membentuk jiwa, memugar potensi anak bangsa untuk berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah di seantero dunia. Walaupun analitik data raya boleh dimanfaatkan dalam menyediakan profil dan pemantauan berkala prestasi pelajar, namun kasih sayang seorang guru, misalnya sebagai jurulatih tidak dapat diganti dengan teknologi. Itupun jika benar ingin membangunkan bakat seseorang pelajar.
  12. Masih segar dalam ingatan, ketika berada di peringkat sekolah rendah, betapa gigihnya Allahyarham Cikgu Haji Hamim Lahuri melatih saya untuk mewakili sekolah dan daerah dalam pertandingan syarahan di peringkat negeri. Setiap hari, “dipaksanya” saya bersyarah di hadapannya selama satu jam, walhal itu adalah di luar waktu kerjanya. Hal yang serupa juga ketika kami mewakili pasukan debat di sekolah menengah, Cikgu Zaiton Mohd Zin tidak jemu “membebel” membetulkan kaedah penyelidikan dan penyampaian kami sepasukan. Apabila di universiti, walaupun teknologi mula dimanfaatkan dengan berbekalkan pita rakaman video, berkampunglah kami di bilik tayangan perpustakaan, menonton lagi dan lagi video rakaman debat hingga hampir lunyai dibuatnya. Tetapi, hadirnya watak-watak Muallim dan Murshid seperti Profesor Madya Dr Hatijah Basri, Puan Hajah Sarebah Warman, dan Cik Rohana Dollah, setia memimpin mencari pintu kejayaan. Tidak cukup dengan itu, peranan Mukhlis yang dimainkan oleh Puan Siti Fauzeyah Syed Salim dan Ustazah Shakila Ahmad, benar-benar menginsafkan, sentiasa menegur sikap dan perilaku, sudi mendengar 1,001 masalah, membantu menyemak hasil kerja tanpa mengira masa, asalkan kami pelajarnya terus maju jaya.
  13. Guru yang hebat dan teknologi yang dimanfaat umpama pasangan intim, demi hubungan yang unggul. Hari ini, anak-anak pelajar, ibu bapa dan anggota masyarakat perlu memperbetul mana-mana yang khilaf. Usahlah semudahnya, menitipkan mesej atau menulis komentar, “kalau sudah ada video, tak perlulah guru mengajar”, “kalau setakat sedia video, dan muat naik, mudahlah kerja cikgu”, “saya boleh tonton video dan cari bahan di Internet, tidak jumpa guru pun tak mengapa”. Semua ini menghiris rasa, dan gambaran betapa angkuhnya nilai dalam diri. Walaupun kini teknologi membenarkan pembelajaran diikuti secara tidak segerak, lebih personal dan diikuti pada bila-bila masa, namun peranan guru untuk memperbetul sikap, perbincangan, wacana ilmiah, dan maklum balas, tetap tidak semudahnya dapat diambil alih oleh kepintaran teknologi. Jika sekalipun benar aspek kognitif dan psikomotor itu boleh disesuaikan dengan teknologi, setepat manakah elemen afektif untuk disandarkan kepada teknologi?
  14. Akhirnya, setelah sedikit reda dan beransur kita kepada kebiasaan terdahulu, mungkinkah ujian COVID-19 yang hadir ini benar-benar menginsafkan? Bertemukah kita akan titik perubahan untuk memahami, bahawa usaha berterusan ke arah memperkembangkan potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu, demi kelestarian generasi akan datang, memerlukan batang tubuh insan berjiwa besar bergelar guru. Insan yang mesti diangkat wibawanya, diiktiraf sumbangannya. Selamat Hari Guru untuk semua pendidik kita!

* Profesor Madya Dr Afandi Ahmad merupakan Penyelidik Pelawat Program Sabatikal tajaan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) di Aalborg-UNESCO Centre for Problem Based Learning in Engineering Science & Sustainability, Aalborg University, Denmark

Sumber : https://www.astroawani.com/berita-malaysia/janganlah-dianggap-teknologi-sebagai-pengganti-guru-361111 

 

Artikel ini juga diterbitkan :

1. Newstraitstimes.com, 16 Mei 2022 : https://www.nst.com.my/opinion/letters/2022/05/796447/technology-no-substitute-teachers

Teknologi pelengkap guru kalis masa hadapan

2. sinarbestari.sinarharian.com, 21 Mei 2022 : https://sinarbestari.sinarharian.com.my/komuniti/teknologi-pelengkap-guru-kalis-masa-hadapan/