Oleh Dr. Mohd Faisal Hushim
Prihatin dengan peningkatan penggunaan tabung darah di bulan Ramadan ini, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), melalui Exco Sukan, Rekreasi dan Kesihatan, Majlis Kepimpinan Pelajar (MKP), Kolej Kediaman Kampus Pagoh (KKKP) telah menganjurkan program derma darah bertempat di perkarangan kolej kediaman.
Program dengan kerjasama Hospital Pakar Sultanah Fatimah Muar telah dijalankan sebanyak dua kali sepanjang bulan Ramadan ini iaitu pada 18 dan 22 April 2022 bermula jam 9 malam hingga 11.30 malam.
Menurut penasihat program, Dr. Mohd Faisal Hushim program ini terbuka kepada semua pelajar dan penghuni KKKP.
Ia dilaksanakan sebagai salah satu inisiatif bagi membantu menambah stok tabung darah yang dijangka menurun pada bulan Ramadan dan cuti perayaan nanti.
Tambah beliau, dengan menggunakan tema UTHM Prihatin, program ini telah mendapat sokongan yang menggalakkan daripada para pelajar.
“Hasilnya, program derma darah ini berjaya mengumpul lebih 100 beg darah.
“Ini menunjukkan pelajar UTHM prihatin terhadap kepentingan menderma darah bagi membantu menyelamatkan nyawa pesakit,” katanya.
Demi membantu kelangsungan bekalan tabung darah negara, program ini akan dilakukan secara berkala dan akan dijadikan sebagai salah satu aktiviti tanggungjawab sosial korporat untuk masyarakat.