Oleh Dr. Nurul Hidayah Liew Abdullah

JOHOR BAHRU Centre of Research Sustainable Profesional Education for Excellent Development (CoR-SPEED), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) membuka tirai 2022 dengan perkongsian kepakaran bersama pengetua baharu di negeri Johor melalui Kursus Pemantapan Profesionalisme Pengetua Baharu Negeri Johor Siri 1/2022.

Kursus anjuran Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPN) ini berjaya dilaksanakan selama dua hari iaitu pada 26 dan 27 Januari 2022 lalu melibatkan 80 orang peserta dalam kalangan pengetua baharu.

CoR-SPEED menampilkan penyelidik utama iaitu Dr. Nurul Hidayah Liew Abdullah dan Dr. Hashima Hamid sebagai penceramah dan pakar dalam pengurusan pendidikan dan pengurusan risiko.

Perkongsian ilmu kursus kali ini juga turut memfokuskan tentang pengurusan dan pentadbiran di peringkat sekolah.

Hasil maklum balas yang diterima, sesi perkongsian berkenaan dikatakan berjalan lancar dan berjaya mendapat perhatian daripada semua peserta.

Salah seorang peserta, Tuan Haji Mohd Dom Dui, Pengetua SMK Anjung Batu, Mersing berkata perkongsian kepakaran daripada CoR-SPEED sangat membantu pentadbirannya dari segi kepimpinan organisasi.

“Pengurusan risiko yang disampaikan menjadi panduan kepada pihak pengurusan di peringkat sekolah terutama dalam situasi pandemik,” kata Pengetua SMK Kota Kulai, Hamzah Abu.

Sementara itu, Penolong Pengarah Unit Menengah dan Tingkatan Enam, Anuar Jaafar pula menzahirkan rasa syukur atas kejayaan pelaksanaan kursus dengan bantuan kepakaran dari CoR-SPEED.

“Pihak saya berharap dapat menjemput pihak CoR-SPEED lagi untuk siri kursus akan datang dengan memfokuskan kepada pemimpin pertengahan.

“Moga kerjasama ini dapat diteruskan kerana warga pendidik dan Jabatan Pendidikan Negeri Johor amat memerlukan perkongsian seperti ini bagi menambah baik pengurusan sedia ada,” katanya.

 

*Dr. Hashima Hamid bersama salah seorang peserta kursus yang turut berkongsi pendapat.