BATU PAHAT, 20 Feb 2022 – “Saya berkecimpung dalam dunia sukarelawan sejak di bangku sekolah menengah lagi kerana inilah jiwa saya sejak dulu,” kata Mohammad Amil Zulhilmi Benjamin.

Amil merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda Sains (Kepelbagaian Hidup dan Pemuliharaan), Fakulti Sains Gunaan dan Teknologi (FAST) yang sering bergiat aktif menyertai program-program kesukarelawan di bawah Majlis Kepimpinan Pelajar Kolej Kediaman Pagoh 2 dan Persatuan Mahasiswa/i Sabah.

Anak kelahiran Kota Kinabalu, Sabah ini pernah terlibat dalam program Tree Planting Project dan Projek Penanaman Pokok Petai yang akhirnya memberinya peluang memenangi Anugerah Pemimpin Sukarelawan (Alam Sekitar) Terbaik UTHM.

Amil juga turut terpilih mewakili UTHM dalam menyertai Misi Sukarelawan Siswa YSS-ASEAN ke Green Summer Volunteer Campaign (GSVC) Vietnam 2019 anjuran Yayasan Sukarelawan Siswa (YSS), Kementerian Pelajaran Malaysia. Peluang mewakili Malaysia sebagai duta sukarelawan pada ketika itu sekali gus mengharumkan lagi nama UTHM.

Meskipun aktif dalam bidang sukarelawan, Amil juga tidak mengabaikan tanggungjawabnya sebagai seorang pelajar.

Buktinya dia berjaya meraih Anugerah Canselor UTHM ketika berlangsungnya Majlis Penyampaian Skrol Graduan 2020 sempena Konvokesyen ke-20 UTHM.

Tambahan lagi, Amil juga merupakan penerima Pingat Gangsa, Anugerah Pingat Tunku 2020 di bawah Yayasan Tunku Abdul Rahman dan Kementerian Pengajian Tinggi pada tahun lalu.

Amil juga pernah mendapat Anugerah Dekan berturut-turut setiap semester dan pernah mencatat Purata Nilai Gred (PNG) 4.00 sebanyak dua kali yang akhirnya melayakkan dia meraih Anugerah Tokoh Pelajar Terbaik FAST, UTHM.

“Saya amat bersyukur dengan penganugerahan tersebut setelah melalui banyak rintangan dan dugaan sepanjang bergelar pelajar terutama berkaitan pengurusan masa.

“Keberkatan doa daripada ibu bapa dan pensyarah juga menjadi sumber kekuatan dalam mengimbangi antara akademik dengan sukarelawan, di samping memberi tumpuan sepenuhnya semasa sesi kuliah berlangsung,” katanya.

Amil kini sedang melanjutkan tahun akhir pengajian Sarjana Sains di Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan pada masa yang sama bergiat aktif menyertai aktiviti sukarelawan di Sabah seperti Persatuan Cinta Amal Sabah dan Persatuan Belia Harmoni Malaysia serta menganggotai Majlis Perwakilan Pelajar UMS di bawah Exco Kesukarelawan dan Komuniti.

 

Berita ini juga telah diterbitkan dalam :

1.sinarbestari.sinarharian.com, 21 Februari 2022 : https://sinarbestari.sinarharian.com.my/gen-z/ikon/berkat-doa-ibu-bapa-dan-pensyarah-sukarelawan-ini-turut-cemerlang-akademik/