Trend bencana alam yang berlaku sejak kebelakangan ini menunjukkan berlakunya peningkatan dalam skala yang lebih besar. Sifatnya bukan sahaja boleh berlaku secara tiba-tiba, kadang-kadang tidak menepati ramalan bahkan memberi impak yang besar kepada manusia dan persekitaran.  Walaupun bencana alam, khususnya banjir, gempa bumi, tsunami dan letusan gunung berapi boleh diramal, namun ada kalanya tersasar. Bencana alam boleh berlaku disebabkan oleh dua faktor iaitu disebabkan fenomena alam semulajadi dan faktor manusia. Bencana alam boleh berlaku dalam skala yang kecil hinggalah kepada skala yang besar.

Bencana yang berlaku dalam magnitud yang tinggi seringkali mendatangkan kesan yang besar kepada manusia dan alam sekitar. Kesan daripada bencana ini amat besar kepada mangsa yang mengalaminya kerana ia bukan sahaja melibatkan kerosakan dan kemusnahan harta benda, kerosakan infrastruktur, fasiliti dan turut sama memusnahkan hasil tanaman dan ternakan. Impak yang paling besar daripada bencana, umpamanya banjir besar adalah kehilangan nyawa dalam kalangan ahli keluarga.  Kemusnahan dan kehilangan ini akan memberi beban dari segi emosi kepada mangsa yang terlibat terutamanya dari aspek psikologi secara langsung kepada mangsa dan ahli keluarga yang terlibat.

Banyak penulisan berkaitan dengan fenomena banjir, punca, kesan, faktor-faktor dan pengurusan banjir. Namun, kebanyakan kajian adalah menumpukan kepada kerosakan harta benda yang terbesar kepada penduduk Malaysia saban tahun. Walau bagaimanapun, penulisan yang cuba memahami dan mendekati kesan banjir terhadap psikologi masyarakat kurang diberi perhatian.

Di Malaysia tumpuan terhadap kesan banjir secara fizikal yang melibatkan kemusanahan harta benda dan infrastruktur telah mendapat perhatian yang tinggi. Pampasan juga turut diberikan oleh kerajaan dan pihak insuran kepada mangsa yang terlibat. Justeru, kita tidak boleh terlepas pandang akan satu lagi pengurusan pasca banjir yang sangat penting dan wajar diberi perhatian iaitu menitikberatkan aspek keselamatan psikologi secara strategik, taktikal dan operasional yang harus menjadi teras kepada bantuan dan juga pengurusan kepada mangsa banjir.

Fenomena bencana banjir berlaku hampir setiap tahun, maka pengurusan yang komprehensif wajar dirancang, diperhalusi dan boleh dilakukan simulasi dengan mengambil kira adanya sistem yang memantau data penduduk berisiko dan berkeperluan. Ini kerana kesan banjir bukan setakat kemusnahan harta benda penduduk dan keletihan fizikal seperti dalam aktiviti pembersihan rumah tetapi turut memberi impak kepada kesan psikologi dan tahap kesihatan mental mangsa.

Penglibatan ketua kampung atau wakil penduduk sangat penting dalam membekalkan data jumlah penduduk di kawasan mereka yang merangkumi golongan kanak-kanak dan bayi; golongan warga emas dan golongan dewasa. Data ini sangat membantu bukan sahaja semasa operasi menyelamatkan mangsa ketika banjir, tetapi juga mampu membantu pihak berkuasa dalam menyediakan bantuan kaunseling kepada golongan yang bersasar.

WHO pada tahun 2015 telah menyeru kepada pelbagai pihak untuk bekerjasama dalam mengurus dan mengatasi kesihatan awam. Pihak-pihak yang terlibat adalah merangkumi  agensi-agensi seperti pengurusan kolej, universiti, kaunselor, agensi kerajaan seperti Bahagian Pendidikan Kesihatan (Kementerian Kesihatan Malaysia), agensi swasta dan agensi berkaitan bersama-sama membantu merancang dan merangka program-program bersifat pencegahan dan kesedaran, pendidikan kesihatan dan intervensi bagi memperkukuh strategi daya tindak dan daya tahan dalam usaha meningkatkan kesihatan mental dalam kalangan mangsa banjir.

Merujuk kepada saranan WHO ini jelas menunjukkan bahawa isu kesihatan mental dan kesan psikologi dalam kalangan masyarakat bukanlah perkara yang harus dipandang remeh. Ujian bencana banjir yang besar kepada masyarakat yang terlibat bukan sahaja perlu diberi bantuan bahkan sokongan dari aspek emosi, seperti kaunseling supaya mereka yang mengalami trauma, keletihan mental dan kesedihan atas kehilangan ahli keluarga dapat dikurangkan dan kesihatan mental mereka akan pulih dari masa ke masa. Kemerosotan kesihatan mental seperti kebimbangan melampau, kemurungan dalam kalangan mangsa banjir boleh menyumbang kepada kemerosotan kesejahteraan psikologi manusia yang terlibat dalam bencana banjir.

Kewajaran pihak-pihak yang terlibat seperti agensi-agensi kerajaan, swasta, kaunselor yang mempunyai kepakaran dalam aspek ini dilibatkan dalam pengurusan pasca banjir supaya mangsa-mangsa banjir ini dapat pulih dengan cepat. Mereka bukan sahaja  dibantu dari segi kewangan/pampasan atau dibantu dari aspek pembersihan rumah, bahkan aspek emosi dan psikologi mereka juga perlu diberi sokongan supaya mereka cepat pulih dan dapat menjalani kehidupan normal seperti biasa.

Justeru, diharapkan saranan ini mendapat tindakbalas yang positif dari pihak yang berkaitan supaya kita bersama-sama membantu mangsa banjir bagi meningkatkan kualiti hidup dari aspek fizikal dan psikologi mereka pada masa akan datang.

 

 

 

Profesor Madya Dr. Haryati Shafii

Pensyarah Pengurusan Persekitaran,

Penyelidik Utama,

Pembinaan Infrastruktur Mampan dan Pengurusan Alam Sekitar (CSIEM),

Jabatan Pengurusan Pembinaan

Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)