BATU PAHAT – Bagi memastikan kebajikan pelajar tanpa asrama terpelihara, Majlis Perwakilan Pelajar, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah menggerakkan inisiatif Pakej Bantuan Perabot Percuma Pelajar Tanpa Asrama (PTA) khusus untuk mereka yang tinggal di rumah sewa.
Sebanyak 28 rumah pelajar telah mendapat manfaat daripada inisiatif ini termasuk pelajar tempatan dan antarabangsa.
Menurut Yang Dipertua MPP sesi 2020/2021, Muhammad Faris Abdul Hadi usaha ini mendapat kerjasama yang sangat baik daripada Pejabat Hal Ehwal Pelajar, Pejabat Pembangunan dan Penyenggaraan dan Pejabat Bendahari.
“Bagi memudahkan urusan bantuan,pPihak universiti turut menyediakan lori untuk menghantar perabot yang diperoleh pelajar.
“Sebanyak 35 unit katil, 43 almari, 46 meja dan 72 kerusi diberikan kepada pelajar yang telah memohon,” katanya.
Tambah Faris, inisiatif ini sedikit sebanyak dapat membantu para pelajar untuk mendapat suasana yang selesa dan kondusif sepanjang berada di rumah sewa bagi menjalani sesi pembelajaran secara dalam talian.
“Kesemua penerima gembira dengan bantuan yang diberikan ini kerana dapat mengurangkan bebanan mereka membeli perabot di kedai.
MPP UTHM turut merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada semua yang terlibat secara langsung mahupun tidak dalam menjayakan inisiatif ini.
“Pihak kami berharap agar inisiatif seumpama ini dapat diteruskan lagi pada masa akan datang dan rakan-rakan pelajar yang menerima bantuan ini tinggal lebih selesa di rumah sewa masing-masing,” katanya.
MPP UTHM akan terus komited untuk memastikan kebajikan pelajar di luar kampus terus mendapat perhatian pihak universiti dengan mewujudkan inisiatif-inisiatif lain pada masa akan datang.